PARIT: Deruman enjin 68 kereta klasik Mercedes Benz di sepanjang laluan dari Seri Iskandar ke Seberang Perak di sini mencuri perhatian dalam konvoi sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Konvoi anjuran Kelab Rekreasi Permotoran Legasi Mercedes Benz Negeri Perak (GPMP) itu bukan sahaja menjadi tarikan malah membawa mesej patriotisme apabila disertai bersama warga sekolah dan komuniti setempat.
Presidennya, Yusri Yakub berkata, konvoi itu diadakan bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan dan menanam rasa cinta kepada negara dalam kalangan ahli sekaligus dapat dikongsi bersama masyarakat dan generasi muda.
Katanya, penyertaan 68 kenderaan oleh ahli kelab dalam konvoi itu menjadi simbolik kepada 68 tahun negara menyambut kemerdekaan.
“Harapan kita adalah untuk mengeratkan hubungan antara ahli kelab selain menerapkan penghayatan kemerdekaan kepada generasi muda sejak dari awal.
“Semangat patriotik ini perlu kita hayati dan dipupuk bersama. Ibarat melentur buluh biarlah dari rebung, kita berharap agar pelajar dapat menghayati erti kemerdekaan yang sebenar sejak awal lagi,” katanya ketika ditemui pada Program Konvoi Merdeka Classic Mercedes 2025 di sini, baru-baru ini.
Sementara itu, Penasihat GPMP, Masaud Mansur berkata, dia sering menyertai konvoi kereta klasik termasuk semasa sambutan bulan kemerdekaan bersama rakan-rakan yang lain.
Katanya, dengan menyertai konvoi dia dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat selain berkongsi minatnya dengan mereka yang menggemari kereta klasik buatan Eropah itu.
“Setiap tahun kita memang akan anjur atau ikuti konvoi dan bukan setakat dalam Malaysia malah ada sampai ke luar negara.
“Begitu juga konvoi kemerdekaan yang setiap tahun saya sertai dan untuk tahun ini agak istimewa di mana kita konvoi sebanyak 68 buah kereta klasik Mercedes Benz sempena 68 tahun kemerdekaan negara,” katanya.
Pelepasan konvoi itu bermula di Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah, Seri Iskandar sebelum singgah di Dataran Cempaka Sari, Parit dengan kehadiran Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belanja.
Rombongan kemudiannya meneruskan perjalanan ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Layang-Layang Kiri bagi menghadiri ceramah pengisian kemerdekaan sebelum perjalanan diteruskan ke Felcra Nasaruddin Belia.
Sepanjang perjalanan ke Felcra Nasaruddin, Belia, konvoi melalui lapan sekolah yang menyambut dengan lambaian Jalur Gemilang, iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Padang, SK Bota Kiri, SK Teluk Kepayang, SK Lambor Kiri, SMK Muzaffar Shah 1 Lambor Kanan, SK Padang Changkat, SK Bota Kanan dan SK Felcra Nasaruddin. – UTUSAN










