MELAKA: Keterujaan ketika kali pertama mengibarkan Jalur Gemilang pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 tidak pernah luput dalam ingatan Abdul Raship Khalil, 74.
Dia yang juga pesara kerajaan berkata, waktu itu dia hanya berusia enam tahun apabila Persekutuan Tanah Melayu mendapat kemerdekaan daripada penjajah British.
Katanya, sebagai persediaan menyambut hari bersejarah itu, arwah ayahnya telah membawa pulang sehelai kain berwarna merah, biru, kuning dan putih.
“Waktu itu tidak banyak kedai yang menjual bendera dan saya sendiri tidak pernah melihatnya sehinggalah ayah bawa pulang ke rumah kami di Kampung Baru Sedenak di Kulai, Johor. Sebaik ayah buka bendera itu, saya terus ambil dan letakkan di atas bahu
“Kemudian saya bawa berlari mengelilingi kampung sambil melaungkan merdeka, merdeka. Semangat mengibarkan Jalur Gemilang ketika itu saya masih terbawa-bawa sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Kampung Permatang Duyong, di sini semalam.
Tambah Abdul Raship, keterujaannya terhadap Jalur Gemilang tidak pernah pudar walaupun setelah meningkat dewasa.
Menurutnya, dia sanggup berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk menghias laman rumah dengan lebih 200 bendera Malaysia pelbagai saiz termasuk bendera 13 negeri dan wilayah persekutuan.
“Sudah lebih 30 tahun saya kekalkan tradisi ini. Bendera akan dipasang pada setiap 1 Ogos sehingga Hari Malaysia pada 16 September.
“Bendera yang rosak atau lusuh akan diganti setiap dua tahun. Saya lakukan ini bukan untuk populariti atau habuan pertandingan tetapi kerana bangga kita telah bebas, merdeka dan hidup aman damai,” ujarnya. – UTUSAN











