Zara Qairina: Guru nafi buat kenyataan cetus kegemparan

Zara Qairina: Guru nafi buat kenyataan cetus kegemparan

SEORANG guru dihadapkan ke Mahkamah Sepang semalam selepas membuat penghantaran palsu di media sosial melibatkan kes kematian Zara Qairina. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang guru sekolah menengah yang mengajar bahasa Inggeris mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan menyebarkan maklumat tidak sah berkait dengan kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.

Mengikut pertuduhan, Siti Hajar Alfah Sharuddin, 39, didakwa membuat kenyataan tersebut di akaun TikTok miliknya, SHA_Abrienda yang mungkin menimbulkan kegentaran awam dan boleh mendorong mana-mana orang melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam.

Dia didakwa melakukan kenyataan tersebut yang turut ditonton dan didengar oleh seorang anggota polis pada pukul 1.20 tengah hari, 6 Ogos lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Pertuduhan ke atas guru tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding semalam, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd. Izhar dan Christhoper Enteri Mawan manakala tertuduh diwakili peguam bela, Peguam, Mohamad Zaiful Bahrin Kamde.

Pendakwaan mencadangkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin namun pembelaan memohon agar jumlah tersebut dikurangkan atas alasan tertuduh merupakan seorang penjawat awam dengan gaji RM5,000 sebulan dan juga seorang ibu tunggal.

“Tertuduh turut menanggung kedua ibu bapanya yang mana ibunya telah diserang dengan angin Ahmar. Tertuduh juga mempunyai tiga orang anak yang masih bersekolah dan telah memberikan kerjasama penuh sewaktu siasatan. Tertuduh juga hadir sendiri untuk menghadapi pendakwaan hari ini,” kata Mohamad Zaiful.

Majistret Khairatul Animah Jelani kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 9 Oktober ini untuk serahan dokumen.

Sebelum ini, media melaporkan seorang guru Bahasa Inggeris yang memuatnaik video memaparkan kononnya Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh, mengakui ia hanyalah sekadar ‘content’.

Allahyarham Zara Qairina, pelajar sebuah sekolah agama di abah ditemui tidak sedarkan diri dekat longkang asrama sekolah jam 3 pagi, 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya.

Kes kematian Allahyarham mencetuskan perhatian umum apabila ia pada peringkat awal diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sebelum pihak polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur buli ketika kes disiasat semula.

Namun, tular di media sosial dakwaan kononnya mangsa maut selepas dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Penyebaran maklumat palsu itu menimbulkan kebimbangan awam, selain memberi tekanan emosi kepada keluarga Allahyarham serta mengganggu perjalanan siasatan polis.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebelum ini membuka sebanyak 15 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian pelajar tingkatan satu itu termasuk dakwaan kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini mendedahkan seorang guru mengakui kandungan TikTok bahawa Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh hanya sekadar ‘content’. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×