SEJAK 1 Mei lalu, Malaysia memperkenalkan tong gas petroleum cecair (LPG) berwarna ungu, khusus untuk kegunaan komersial dan industri yang tidak disubsidi. Langkah ini bertujuan memperketat penyaluran subsidi hanya kepada pengguna domestik dan mengekang penyelewengan seperti ‘decanting’ LPG subsidi ke dalam silinder tidak sah.
Peniaga yang menggunakan lebih daripada tiga tong 14 kilogram (kg) (maksimum 42 kg) pada satu-satu masa diwajibkan menggunakan tong ungu, yang dijual pada harga pasaran sekitar RM65 hingga RM70/silikon, jauh lebih tinggi daripada silinder subsidi sekitar RM26 hingga RM30.
Akibatnya, kos operasi sesetengah peniaga kecil dilaporkan meningkat tiga kali ganda dari sekitar RM2,600 ke hampir RM7,000 sebulan.
Kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menekankan dasar ini bukan bertujuan membebankan tetapi untuk memastikan subsidi wajar dinikmati oleh yang layak sahaja.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Dr. Fuziah Salleh menjelaskan penjaja kecil seperti ‘Makcik Kiah’ masih dibenarkan menggunakan tong subsidi (hijau) selagi penggunaan tidak melebihi 42 kg.
Selain itu, Kabinet memutuskan memberi pengecualian sementara kepada peniaga mikro dan makanan kecil daripada kewajipan Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB) sehingga Oktober ini, demi memberi ruang pelarasan sambil Ops Gasak diteruskan mengekang penyalahgunaan LPG subsidi. Ditegaskan juga tiada tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap peniaga kecil sepanjang tempoh ini.
Walaupun demikian, kekeliruan masih berlaku. Ketiadaan garis panduan jelas menyebabkan beberapa peniaga tidak pasti sama ada mereka perlu beralih kepada tong ungu atau tidak. Tekanan kos seterusnya mungkin diterjemahkan ke dalam kenaikan harga makanan dan perkhidmatan, membebankan pengguna isi rumah, khususnya golongan B40 dan M40 yang menghadapi kos sara hidup tinggi pasca-pandemik.
Untuk memastikan keseimbangan antara penjimatan subsidi kerajaan dan keadilan sosial, kerajaan digesa membentuk mekanisme rayuan atau pengecualian untuk peniaga mikro yang benar-benar layak.
Selain itu, penerangan lebih mendalam dan sesi dialog dalam kalangan pengguna dan pihak berkepentingan juga diperlukan demi kelancaran pelaksanaan dasar ini.-UTUSAN
MUNAWWAR HASBULLAH & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










