KOTA BHARU: Penularan ideologi perkahwinan tanpa anak semakin diterima dalam kalangan pasangan muda di negeri ini dengan menjadikan pempengaruh sebagai sumber rujukan.
Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Kelantan, Haslinda Hassan berkata, meski belum ada data rasmi mengenai jumlah pasangan yang memilih trend tersebut, ia semakin menular selepas dipopularkan pempengaruh dalam media sosial.
“Lebih membimbangkan, trend ini disebarkan tanpa asas kukuh malah masyarakat hari ini cenderung menjadikan pempengaruh sebagai sumber rujukan.
“Tidak dapat disangkal, ia sangat membimbangkan. Apatah lagi dengan Kadar Kesuburan Keseluruhan atau Total Fertility Rate (TFR) negara semakin menurun,” katanya semalam.
Haslinda berkata, walaupun TFR di Kelantan masih tinggi iaitu pada kadar 2.7 peratus berbanding kadar nasional iaitu 1.7 peratus tetapi penularan trend perkahwinan tanpa anak mampu menyebabkan kadar TFR menurun.
Menurutnya, tekanan ekonomi pada masa kini turut menjadi faktor pasangan baru berkahwin cenderung memilih tidak mempunyai anak yang sekali gus mempercepat Malaysia menuju ke arah negara menua seperti Singapura dan beberapa negara rantau yang lain.
“Kita mahu menggalakkan rakyat untuk membangunkan keluarga dan amat risau penularan ideologi perkahwinan tanpa anak ini akan mempengaruhi majoriti belia yang akhirnya mengambil langkah menerima ideologi itu.
“Jika diperhatikan, semakin ramai pasangan muda memilih memberi tumpuan kepada pembinaan kerjaya dan mengecilkan bilangan ahli keluarga. Ia akan menyebabkan kadar TFR negara kian menurun sekali gus mempercepat proses Malaysia mencapai status negara menua,” katanya.
Beliau berkata, LPPKN menyediakan pelbagai inisiatif untuk menangani isu kesuburan dan terbaharu adalah Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Subfertiliti (BUAI) bagi membantu pasangan baru berkahwinan mendapat anak seawal usia perkahwinan.-UTUSAN.









