Ibu bapa perlu bantu negara lahirkan lebih ramai usahawan muda

Ibu bapa perlu bantu negara lahirkan lebih ramai usahawan muda

MASA hadapan keusahawanan negara terletak pada pada minda terbuka dan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu bapa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM landskap pendidikan tinggi yang kian mencabar, peranan ibu bapa bukan sahaja tertumpu kepada aspek akademik anak-anak, malah perlu diperluas kepada pembentukan sahsiah dan keterbukaan terhadap laluan kerjaya bukan konvensional, khususnya bidang keusahawanan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) melalui pelbagai inisiatif memperkukuh ekosistem keusahawanan di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/S) seiring dengan aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) yang menyasarkan Malaysia sebagai negara keusahawanan unggul menjelang 2030.

Masih wujud persepsi lapuk dalam kalangan segelintir ibu bapa yang keusahawanan adalah ‘plan B’ atau sekadar jalan keluar bagi anak-anak yang kurang cemerlang dalam akademik. Persepsi ini bukan sahaja mengekang potensi sebenar pelajar yang bercita-cita menjadi usahawan tetapi turut bertentangan dengan hasrat negara untuk melahirkan generasi pencipta kerja.

Hakikatnya, keusahawanan memerlukan kemahiran tinggi, daya tahan mental, kreativiti dan kepimpinan setanding profesion profesional lain. IPTA dan IPTS menyediakan pelbagai program, inkubator perniagaan, geran permulaan serta sokongan mentor bagi menyemai bakat keusahawanan dalam kalangan mahasiswa.

DKN 2030 menyasarkan penciptaan satu juta pekerjaan baharu dalam sektor keusahawanan dan memperkasakan penyertaan belia. Sementara itu, Dasar Pendidikan Tinggi Negara serta Panduan Pendidikan Keusahawanan Bersepadu menekankan elemen pembangunan pelajar secara menyeluruh yang merangkumi keusahawanan sebagai teras.

Namun, dasar sehebat mana pun tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada rumah. Ibu bapa harus keluar dari kerangka pemikiran tradisional yang terlalu mementingkan ‘pekerjaan tetap’ dan mula memahami masa hadapan anak mungkin lebih cemerlang sebagai pencipta peluang, bukan hanya pencari kerja.

Ibu bapa harus diberi pendedahan dan pemahaman yang lebih jelas tentang peluang dan cabaran dalam dunia keusahawanan masa kini. Program kerjasama antara IPT dan komuniti ibu bapa boleh dijadikan platform dialog dua hala, agar peranan membentuk usahawan muda bukan hanya digalas oleh institusi pendidikan tetapi turut didukung institusi keluarga.

Kesediaan ibu bapa untuk memberi ruang, mempercayai kemampuan anak, serta tidak terlalu mementingkan laluan kerjaya ‘selamat’ semata-mata akan membuka jalan kepada lebih ramai graduan yang berani mengambil risiko membina perniagaan sendiri.-UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. NAZIRAH MOHAMAD ABDULLAH
Pengarah Pusat Teknousahawan
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×