ALOR SETAR: Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mempertikai tindakan pihak tertentu yang hanya menyasarkan negeri pembangkang berhubung kenaikan tarif air sedangkan peningkatan itu turut berlaku di negeri-negeri lain.
Beliau berkata, kenaikan tarif air di Kedah juga tidak membebankan pengguna kerana kadar baharu iaitu 81 sen per meter padu bagi penggunaan 20 meter padu pertama masih jauh lebih rendah berbanding negeri lain.
Katanya, kenaikan enam sen berbanding kadar lama 75 sen itu merupakan keperluan dan langkah penting bagi memastikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) terus mencatat keuntungan, sekali gus mampu membayar hutang air bagi mengekalkan kedaulatan Kedah.
“Pertama sekali kenaikan tarif ini bukan Kedah sahaja berlaku tapi media ini dikawal oleh Kerajaan Persekutuan maka mereka tak cerita lah, mula-mula kata 10 operator air mohon naik tarif tapi bila lulus sebut empat sahaja negeri SG4.
“Saya ada banyak pengetahuan juga tentang negeri lain, ada negeri tak bayar hutang TNB RM700 juta bukan negeri SG4 tapi mereka tak sebut dalam media. Mereka sebut Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kerana negeri pembangkang.
“Kalau jujur, ikhlas yang menjaga kementerian itu beritahu lah yang sebenarnya iaitu operator yang memohon ini semua dibenarkan naik tarif air,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) mengenai keperluan menaikkan tarif air memandangkan SADA kini mencatat keuntungan.
Tambah Muhammad Sanusi, SADA perlu mencatat keuntungan bagi membayar semula hutang agar Kedah terus mendapat haknya dan mengawal kedaulatan menguruskan sumber air sendiri.
“Negeri ini bila membentuk Malaysia ada tiga perkara sahaja iaitu air, tanah dan hutan serta agama di bawah Tuanku Sultan. Kalau habis ini takda kedaulatan apa padahal asal-asal dulu kita negeri daulat, ada kerajaan dan undang-undang tubuh sendiri.
“Saya tak mau semasa jadi menteri besar negeri ini terlondeh habis. Saya nak pastikan pelan perniagaan SADA mampu bayar hutang air sehingga kita kekalkan kedaulatan Kedah
“Kalau bekalan air terawat pun diambil alih dengan mengubah Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan 2005 hanya tinggal sumber air, parit dan terusan saja kepada negeri tapi bekalan air bersih telah ditakluk oleh Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, ujar beliau, berdasarkan rekod SADA, keuntungan selepas cukai syarikat itu pada 2010 adalah sebanyak RM12.1 juta dan meningkat sehingga 2012.
“Keuntungan menurun kepada RM22.9 juta pada 2013 dan menyusut kepada RM21.2 juta (2014), RM13.1 juta (2015), RM6.1 juta (2016), RM450,000 (2017) seterusnya menurun kepada RM31,000 (2018).
“Pada 2019, SADA catat kerugian RM36 juta. Pada 2020, Perikatan Nasional (PN) ambil alih kerajaan dan melakukan reformasi operasi SADA bermula Mei dan kembali untung RM149,000. Sejak itu, SADA terus catat keuntungan, bermula 2021 (RM29.5 juta) hingga 2024 (RM41.5 juta), manakala unjuran tahun ini sebanyak RM80 juta,” katanya. – UTUSAN










