MAIS salur RM19.4 juta, bimbing 15,288 asnaf riqab

MAIS salur RM19.4 juta, bimbing 15,288 asnaf riqab

Asnaf Riqab
SALASIAH Hanin Hamjah (tengah) menerima cenderamata daripada wakil Hospital Cyberjaya pada program itu, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menyalurkan bantuan RM19.4 juta bagi membimbing 15,288 asnaf riqab yang dibelenggu masalah akidah dan sosial di negeri ini tahun lalu.

Sumbangan menerusi peruntukan zakat asnaf riqab itu meliputi pemulihan, perlindungan, rawatan dan pencegahan bagi mereka kembali ke pangkal jalan.

Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr. Norraini Nordin berkata, bantuan itu melibatkan geran pemulihan kepada Rumah Pemulihan Riqab (RPR), perkhidmatan pembimbing Riqab, kursus dan sumbangan kebajikan.

“Objektif utamanya bertujuan membantu pemulihan golongan itu yang dibelenggu masalah sosial dan akidah sehingga menghalang menjalani kehidupan sempurna sebagai Islam.

“Bagi tahun ini, sejumlah RM18.4 juta diperuntukkan dengan seramai 2,160 asnaf itu telah disantuni setakat Jun lalu. MAIS turut melantik 168 Pembimbing Al-Riqab bagi membantu mereka kembali ke jalan yang benar,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Terdahulu, kempen Bulan Pembebasan Riqab 2025 dilancarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Riqab MAIS, Prof. Dr. Salasiah Hanin Hamjah di Cyberjaya.

Menurut Norraini, asnaf riqab merupakan individu yang dibelenggu masalah seperti penagihan dadah, sumbang mahram, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) serta terpesong agama yang telah difatwakan pada 2012.

“Bagi memperkukuhkan inisiatif pemulihan, MAIS menganjurkan kempen bermula 1 Ogos sehingga hujung bulan ini bagi memberi informasi berkaitan asnaf berkenaan.

“Pelbagai program dilaksanakan antaranya forum dan ceramah selain program bimbingan, kaunter penerangan serta seminar,” ujarnya.

Tambah beliau, MAIS sebagai pihak berkuasa utama pengurusan hal ehwal Islam di Selangor mahu kempen itu membantu umat Islam mengenali asnaf riqab dan cakna dengan masalah akidah dan gejala sosial yang berlaku ketika ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×