KOTA KINABALU: Lima remaja perempuan didakwa di Mahkamah Kanak-Kanak, Kota Kinabalu, Sabah hari ini atas pertuduhan menggunakan perkataan mencela terhadap Allahyarham Zara Qairina Mahathir, bulan lalu.
Kes itu disebut di hadapan Hakim Elsie Primus, pada prosiding yang dijalankan secara tertutup.
Mereka didakwa dalam mencapai niat bersama, telah menggunakan perkataan mencela terhadap Zara Qairina, 13, yang mana perkataan tersebut didengari oleh mangsa yang mungkin menyebabkan pelajar itu terganggu dengan perkataan tersebut.
Kelima-lima pelajar didakwa melakukan perbuatan itu di blok Asrama Rabiatul Adawiyah Dorm A-3-6, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar antara pukul 10 malam dan 11 malam, pada 15 Julai 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










