ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah akan terus mempertahankan Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) sebagai operator bekalan air terawat di negeri ini meski terdapat syarikat lain yang berminat untuk mengambil alih peranan itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, SADA adalah sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Perbadanan Menteri Besar Kedah (MBI) bagi menjalankan fungsi dan tanggungjawab perkhidmatan bekalan melalui Perjanjian Pengkorporatan 2010.
Katanya, SADA juga merupakan operator air yang dilesenkan di bawah Seksyen 9 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).
“Tidak mungkin perkara ini dibenarkan berlaku, selagi saya dan rakan-rakan ada di sini tidak mungkin SADA diserahkan kepada pihak lain,” katanya pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ke-15 di sini, hari ini.
Muhammad Sanusi (PN-Jeneri) menjawab pertanyaan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam) yang bertanyakan sama ada kerajaan negeri berhasrat memberi ruang kepada sebuah syarikat untuk mengambil alih tugas SADA sebagai operator air tunggal negeri.
Azhar berkata, pertanyaan itu berdasarkan siaran media syarikat Ranhill pada 6 Mei lalu yang bertemu kerajaan negeri bagi membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai aspek pembangunan, khususnya berkaitan perkhidmatan utiliti dan infrastruktur.
Muhammad Sanusi berkata, pengambilalihan peranan SADA sebagai operator air utama di Kedah adalah kurang realistik serta tertakluk kepada syarat-syarat pelesenan dan klausa-klausa perjanjian.
“SADA terikat dengan syarat-syarat standard lesen di bawah Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Pelesenan) 2007 iaitu sekiranya terdapat perubahan pegangan syer dalam pemegang lesen atau syarikat induknya yang mengakibatkan perubahan dalam kawalan pemegang lesen atau syarikat induknya, kelulusan secara bertulis daripada menteri hendaklah diperolehi terlebih dahulu.
“Syarat pelesenan itu bermaksud apa-apa perubahan dalam pegangan atau pemilikan ekuiti SADA 100 peratus yang dipegang oleh kerajaan negeri melalui MBI Kedah tidak boleh dipindah milik tanpa kelulusan menteri terlebih dahulu,” katanya.
Sementara itu beliau memaklumkan, beberapa syarikat lain juga berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan negeri bagi tujuan sama selepas SADA kembali mencatat keuntungan sejak pihaknya menerajui Kedah.
“Saya faham perangai orang berniaga dia akan pi cari di mana ada untung, saya tak boleh salahkan mereka. Sama masa SADA tengah tenat, pernah rugi RM36 juta pada 2019 dan berhutang RM158 juta.
“Masa itu tak ada siapa ‘stim’, tengok pun tak mau kurap penuh, bedak tak pakai dan rambut pun tak sikat tapi bila kita mula memulihkan SADA bermula 2020 masa kita masuk jadi kerajaan (ramai yang menunjukkan minat),” katanya. – UTUSAN









