KUALA PILAH: Walaupun sudah 13 tahun meninggalkan kerjaya dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semangat cintakan negara tidak pernah luntur dalam diri Nasaruddin Zakaria, 59, dari Kampung Renggoh, Johol di sini.
Bekas Pegawai Waran II itu berkata, sempena sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini, dia tidak ketinggalan mengibarkan Jalur Gemilang dan menghias dekorasi di rumah dan kedai makan keluarganya di kampung itu.
“Kalau dulu perjuangan di medan tugas, sekarang perjuangan kita adalah untuk mengekalkan semangat kemerdekaan. Kibarkan bendera di rumah atau kedai sudah cukup untuk menunjukkan rasa cinta kepada negara.
“Sayangnya, sekarang ini kita lihat banyak rumah yang tidak mengibarkan bendera. Kalau satu rumah dengan satu bendera sahaja sudah memadai untuk menzahirkan semangat patriotik dan menghargai pejuang negara ” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Nasaruddin berkata, pada awalnya inisiatif dilakukannya itu adalah untuk suka-suka sahaja sebagai usaha menyemarakkan suasana sambutan Hari Kebangsaan dalam kalangan penduduk setempat.
“Selepas bersara daripada ATM, saya mula menghiasi kedai arwah ibu saya itu sempena sambutan Hari Kemerdekaan. Sejak itu, semakin ramai penduduk kampung mula mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman mereka,” katanya.
Tambah Nasaruddin, dia akan mula membuat perancangan dua bulan untuk menghias kedai makan itu kini diuruskan oleh adiknya.
Menurutnya lagi, usaha tersebut turut dibantu oleh ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Renggoh dan ahli keluarganya.
“Saya akan membuat perancangan dan pengumpulan bahan-bahan terpakai seperti botol minuman untuk digunakan untuk menghias keliling kedai.
“Orang kampung, ahli keluarga, termasuk ahli JPKK akan membantu daripada segi menghias dan menyumbangkan bahan-bahan kitar semula untuk digunakan dalam kerja-kerja menghias.
“Setiap tahun juga, mereka akan tertunggu-tunggu dekorasi yang saya hasilkan. Malah, ada juga pelanggan yang berkunjung ke kedai semata-mata ingin melihat sendiri dekorasi yang saya hasilkan menjelang Bulan Kebangsaan,” katanya.
Selain dipenuhi bendera, kedai makan itu turut dihiasi dengan informasi berkaitan tokoh dan pejuang kemerdekaan dengan harapan agar generasi muda dapat mengenali dan mengetahui jasa tokoh-tokoh berkenaan.
Dalam pada itu, Pengerusi JPKK Kampung Renggoh, Jalaludin Shariff, 65, berkata usaha Nasaruddin turut mendapat sokongan dari JPKK daripada segi sumbangan modal dan bantuan tenaga.
“Kami sentiasa menyokong usahanya dalam menghidupkan suasana sambutan Hari Kebangsaan. Sebagai tanda sokongan, kami turut menyumbangkan sedikit modal dan bantuan tenaga dalam pemasangan dekorasi di kedainya yang turut menjadi salah satu tarikkan pengunjung dari luar,” katanya.-UTUSAN.










