KUALA NERUS: Lebih 100 peserta termasuk pelajar antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menyemarakkan sambutan bulan kemerdekaan menerusi ekspedisi lasak Kayak In Terengganu Amazon 2.0 sejauh 50 kilometer (km) dari Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu, baru-baru ini.
Pengarah Pusat Pembangunan Holistik Pelajar UniSZA, Dr. Akila Mamat berkata, penyertaan mahasiswa antarabangsa dari Nigeria, Pakistan dan Indonesia dalam program itu turut mencerminkan semangat patriotisme yang merentasi sempadan bangsa serta budaya.
“Program ini bukan sekadar menguji kekuatan fizikal di sungai tetapi satu perjalanan jiwa yang menyemai kecintaan terhadap tanah air, warisan dan masyarakat.
“Malah, pelajar antarabangsa turut sama merasai bahang kemerdekaan sambil berpeluang menyantuni komuniti setempat,” katanya ketika ditemui.
Menurut Akila, ekspedisi selama tiga hari itu bermula di Kuala Berang dan berakhir di Pulau Duyong, Kuala Terengganu.
Katanya, pelbagai pengisian diadakan termasuk aspek kerohanian, tradisi, keselamatan, pendidikan serta aktiviti sukan rakyat di lokasi persinggahan.
“Peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu satu berkayak ke Kampung Pasir Tinggi, Hulu Terengganu manakala satu lagi ke Kampung Padang Limau Nipis, Marang bagi melaksanakan khidmat masyarakat.
“Keesokannya pula peserta tiba di Kalang Warisan, Serada dan disambut meriah dengan kibaran Jalur Gemilang serta alunan lagu patriotik yang membangkitkan semangat kebangsaan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Mujahid Akila yang juga pelajar semester tiga Diploma al-Quran dan As-Sunnah berkongsi penganjuran kali ini cukup istimewa kerana diadakan bersempena sambutan bulan kemerdekaan.
Katanya, ekspedisi berkenaan bukan sekadar aktiviti riadah sebaliknya simbolik kepada semangat patriotisme dan kecintaan mahasiswa terhadap tanah air.-UTUSAN.










