‘Perjalanan’ NSFC masih lagi panjang

‘Perjalanan’ NSFC masih lagi panjang

NIDZAM Jamil ditemui pemberita selepas perlawanan Piala FA di antara NSFC menentang PDRM di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.-UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Prestasi mengagumkan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam dua perlawanan awal Liga Malaysia termasuk menewaskan PDRM FC dengan keputusan 5-0 dalam aksi Piala FA semalam hanyalah permulaan dalam perjalanan panjang pasukan itu musim ini.

Bagi ketua jurulatih skuad Jang, Nidzam Jamil, banyak perkara yang masih perlu diperbaiki kerana pasukan tersebut barulah memasuki minggu kesembilan berlatih bersama-sama.

Dia berkata masih memerlukan sedikit masa lagi untuk membentuk sebuah pasukan yang baik sekali gus dapat membanggakan penyokong.

“Ini proses yang panjang sebenarnya. Kamo baru minggu ke lapan, ke sembilan sejak pramusim. Ini minggu kesembilan kami bersama. Jadi saya percaya kami ada proses untuk menjadikan pasukan ini lebih baik.

“Kami perlu beri persembahan yang baik, hasil yang baik untuk penyokong terus ada belakang. Isunya adalah masa lah. Jika sedikit sabar dengan proses ni, saya rasa, tidak lama lagi kami akan ada sebuah pasukan yang baik  tetapi kami perlu masa,” katanya.

Nidzam berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan pertama pusingan 16 Piala FA menentang PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi di sini semalam.

Dalam perlawanan itu, NSFC memperoleh gol menerusi dua jaringan penyerang, Jovan Motika dan Joseph Esso serta satu gol menerusi pemain gantian, Mio Tsuneyasu.


ANTARA aksi perlawanan Piala FA di antara NSFC menentang PDRM FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Seremban, semalam.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Prestasi NSFC minggu lalu juga menarik perhatian ramai terutama apabila berjaya memberikan tentangan sengit menentang gergasi Liga Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) FC sebelum tewas dengan keputusan 5-3 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor.

Sementara itu, ditanya persediaan sebelum satu lagi perlawanan getir iaitu menentang Selangor FC dalam aksi Liga Super, Ahad ini, Nidzam berkata, Banyak ‘kerja rumah’ yang perlu dilakukannya.

“Banyak kerja rumah yang kena buat tiga empat hari ini sebelum Ahad nanti sebab hendak berdepan dengan salah satu pasukan terbaik di Malaysia,” katanya.

Katanya, tonggak tengah, Alexander Agyyakwa serta dua pemain iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Ahmad Khuzaimi Piee tidak akan dapat bermain dalam perlawanan tersebut.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih PDRM FC, Eddy Gapil berkata, dia menerima kekalahan besar semalam dan menganggap bukan mudah untuk pasukan kendaliannya beraksi dengan hanya 10 pemain dalam hampir keseluruhan masa perlawanan.

“Bukan mudah apabila beraksi selama 88 minit dengan 10 pemain. Ini berlaku terlalu cepat dalam tempoh 10 minit. Kami dibolosi dan pemain kami dilayangkan kad merah. Jadi, agak susah untuk kami kembali. Jadi, ya, ini sebahagian daripada bola sepak jadi kami perlu menerima kekalahan,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×