Guna teknologi nuklear untuk keamanan

Guna teknologi nuklear untuk keamanan

PASTIKAN pembangunan teknologi nuklear di Malaysia dilaksanakan secara aman, selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) 2030 memastikan pembangunan teknologi nuklear di Malaysia dilaksanakan secara aman, selamat, bertanggungjawab dan memberi manfaat kepada rakyat.

Komitmen ini diterjemahkan melalui pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT). Malaysia menandatangani CTBT pada 23 Julai 1998 dan meratifikasinya pada 17 Januari 2008.

Sejak itu, Nuklear Malaysia selaku Pihak Berkuasa Kebangsaan CTBT mengendalikan dua kemudahan utama di bawah rangka kerja CTBT Organization (CTBTO) iaitu dalam rantaian Stesen Pemantauan Radionuklid RN42 di Cameron Highlands dan Pusat Data Kebangsaan CTBT (MY-NDC) di Nuklear Malaysia, Bangi.

Kedua-dua kemudahan ini berperanan untuk memantau atau mengesan radionuklid yang terhasil daripada letupan nuklear global. Pusat data juga berperanan membekalkan maklumat seismik, infrasound dan hydroacoustic untuk kegunaan saintifik dan awam termasuk menyokong Sistem Amaran Awal Tsunami Kebangsaan.

Penglibatan Malaysia juga diiktiraf Suruhanjaya Persediaan CTBTO dan ini dizahirkan melalui lawatan rasmi Setiausaha Eksekutif CTBTO, Dr. Robert Floyd ke Malaysia pada 13 hingga 18 Ogos 2025. Lawatan ini merangkumi kunjungan ke Stesen Pemantauan Radionuklid RN42, Pusat Data Kebangsaan CTBT (MY-NDC) dan pertemuan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi membincangkan kerjasama bagi memperkukuh kapasiti teknologi CTBT di Malaysia.

Dr. Robert turut mengadakan pertemuan dengan Kementerian Luar Negeri bagi membincangkan peranan CTBT terhadap pelucutan senjata nuklear, keamanan serantau dan global serta keutamaan memastikan teknologi nuklear digunakan hanya untuk tujuan aman, selamat dan bertanggungjawab.

Nuklear Malaysia turut menganjurkan Kolokium Kebangsaan CTBT untuk memberi pendedahan kepada pemegang taruh, institusi penyelidikan dan universiti mengenai manfaat data CTBT bagi keselamatan, penyelidikan saintifik dan kesejahteraan masyarakat. – UTUSAN

AGENSI NUKLEAR MALAYSIA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×