PARLIMEN: Seorang lagi Ahli Parlimen PN digantung

PARLIMEN: Seorang lagi Ahli Parlimen PN digantung

AHMAD MARZUK SHAARY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat semasa sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bertukar tegang apabila Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN) digantung dua hari kerana enggan mematuhi arahan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yeng.

Kekecohan bermula ketika Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sedang menjawab isu berhubung pelantikan syarikat bagi melaksanakan penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH).

Dalam jawapannya, Mohd. Na’im mendedahkan bahawa sebanyak 23 syarikat bukan Islam juga pernah dilantik oleh kerajaan ketika Ahmad Marzuk sendiri memegang jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Kenyataan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Ahmad Marzuk yang segera bangun mencelah tanpa kebenaran dan keadaan itu menyebabkan Kiong Yeng beberapa kali memberi amaran agar beliau duduk bagi memberi laluan kepada menteri menghabiskan penjelasan.

“Ahli Yang Berhormat yang tak mahu dengar jawapan boleh keluar ya. Boleh cakap nanti boleh keluar juga kerana untuk menteri tinggal tujuh minit saja. YB Pengkalan Chepa saya tak benarkan YB minta penjelasan lagi kerana masa tak cukup,” tegasnya.

Amaran itu bagaimanapun tidak diendahkan apabila Ahmad Marzuk terus bersuara dan mengasak menteri berhubung isu Tabung Haji. Tindakannya itu memaksa Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat menggunakan Peraturan Mesyuarat 37(2) untuk menghalang gangguan berterusan.

“Silakan YB Pengkalan Chepa untuk rehat sekejap. Kalau bangun lagi terus keluar. Silakan bentara, bawa Pengkalan Chepa keluar. Sila keluar. Rehat di luar setengah jam baru masuk. Tak cukup setengah jam saya bagi dua hari,” katanya.

Selepas arahan itu, bentara diminta mengiringi Ahmad Marzuk keluar dewan, namun beliau tetap berdegil apabila terus bercakap tanpa kebenaran.

Keengganannya akur akhirnya membuatkan Kiong Yeng mengubah keputusan daripada penggantungan setengah jam kepada dua hari.

“Yang lain pun nak dua hari? Tadi saya cakap setengah jam tetapi YB Pengkalan Chepa masih bercakap tanpa kebenaran. Jadi mahu dua hari saya tanya? Terus dua hari,” katanya.

Suasana dewan bertambah riuh dengan beberapa ahli Parlimen cuba mencelah, namun Timbalan Yang Dipertua menegaskan tindakan tegas itu perlu diambil demi memastikan ketertiban sidang tidak terganggu.

Langkah penggantungan Ahmad Marzuk itu sekali gus menamatkan kekecohan hampir 10 minit dan membolehkan Mohd. Na’im menyambung penggulungan RMK13 sehingga selesai. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×