Kesejahteraan mental mahasiswa bermula dari rumah

Kesejahteraan mental mahasiswa bermula dari rumah

MAHASISWA yang sihat mental adalah hasil sokongan emosi, gaya hidup seimbang dan nilai ditanam sejak awal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM dunia pendidikan tinggi yang penuh cabaran, mahasiswa kini tidak hanya bergelut dengan tuntutan akademik tetapi turut berdepan tekanan emosi dan mental yang serius. Persaingan gred, beban pelajaran, kos pengajian, dan persekitaran sosial baharu menjadi punca utama peningkatan kes kemurungan dan kebimbangan dalam kalangan pelajar universiti. Oleh itu, intervensi holistik sangat diperlukan, dan institusi keluarga dilihat sebagai asas penting dalam membina kestabilan emosi sejak awal.

Keluarga berperanan besar dalam membentuk ketahanan mental mahasiswa. Sokongan berterusan daripada ibu bapa memberi keyakinan kepada anak untuk mengurus tekanan. Interaksi yang sihat di rumah seperti perbualan terbuka tentang emosi, penyelesaian konflik secara matang, serta didikan yang penuh empati membina kecerdasan emosi. Ia adalah elemen penting dalam kejayaan hidup dan ketahanan mental.

Di samping itu, gaya hidup sihat juga memainkan peranan penting. Tidur mencukupi, pemakanan seimbang dan aktiviti fizikal berkala terbukti menyumbang kepada keseimbangan hormon dan kestabilan emosi.

Kajian menunjukkan kekurangan tidur dan diet tidak seimbang meningkatkan risiko stres dan kemurungan. Justeru, amalan gaya hidup sihat perlu ditanam sejak kecil melalui rutin keluarga yang konsisten.

Aspek spiritual dan nilai moral turut membantu membentuk jiwa yang kuat. Nilai seperti kesyukuran, tanggungjawab dan kejujuran dapat memberi arah hidup serta ketenangan batin dalam menghadapi cabaran. Rumah yang memupuk nilai ini akan melahirkan individu yang lebih tahan lasak secara emosi dan spiritual.

Namun begitu, keluarga tidak boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya. Universiti dan kerajaan perlu menyediakan sokongan yang menyeluruh termasuk perkhidmatan kaunseling, program pembangunan emosi, dan dasar yang menyokong kesejahteraan mental.

Masyarakat juga harus memainkan peranan dalam meningkatkan literasi kesihatan mental dan mengurangkan stigma.

Kesimpulannya, kesejahteraan mental mahasiswa memerlukan usaha kolektif. Ia bermula di rumah, disokong di kampus dan diperkukuh oleh dasar awam. Mahasiswa yang sihat mentalnya tidak dibentuk di dewan kuliah semata-mata tetapi sejak dari meja makan di rumah.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×