BENTONG: Lebih 10,000 tangkapan berkaitan kes dadah dilakukan di kawasan Felda di seluruh negeri ini dalam tempoh tiga tahun tujuh bulan lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, statistik berkenaan melibatkan pelbagai kategori kes termasuk pengedar, penagih serta pesalah berulang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.
“Dari segi pecahan ia bukan hanya penduduk di Felda tetapi melibatkan tangkapan di kawasan Felda. Jadi ada penagih dadah yang bukan duduk di Felda tetapi ketika operasi dan tangkapan dilakukan di kawasan Felda, mereka termasuk dalam statistik ini.
“Kebanyakan mereka terdiri daripada belia yang merupakan generasi kedua Felda berusia antara 30 tahun hingga 40 tahun. Ada juga segelintir penagih daripada kalangan pelajar sekolah tetapi peratusannya rendah,” katanya selepas merasmikan Town Hall Discussion Satu Felda, Satu Tekad: Bebas Dadah, Kukuh Muafakat Sempena Kembara Ketua Polis Pahang Tahun 2025 di Dewan Semai Bakti Felda Mempaga 1, di sini hari ini.
Menurut Yahya, sebanyak 115 kawasan Felda di Pahang dikenal pasti terdedah kepada aktiviti pengedaran dan penagihan dadah.
“Berdasarkan statistik ini, polis melihat Felda Mempaga mampu dijadikan model perintis Felda bebas dadah di negeri ini. Justeru, usaha itu memerlukan kerjasama erat masyarakat setempat yang perlu berganding bahu serta menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penagihan atau pengedaran kepada pihak berkuasa,” jelasnya. – UTUSAN










