Dua anak doktor didakwa edar ganja

Dua anak doktor didakwa edar ganja

MOHAMMED Hibatul-Alimi Mohd. Hanafi (kanan) dan  Ahmad Ammar Rusydi (dua dari kanan) semasa dibawa polis untuk prosiding perbicaraan di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan. UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Dua beradik yang merupakan anak lelaki kepada seorang doktor klinik swasta didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis atau ganja seberat 35.58 kilogram (kg) di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh, dekat sini kira-kira dua minggu lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Mohammed Hibatul-Alimi Mohd. Hanafi, 34, dan adiknya, Ahmad Ammar Rusydi, 23, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasinyan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid serta Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah. 

Mengikut pertuduhan yang dihadapi Ahmad Ammar Rusydi, lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 14.78 kg manakala Mohammed Hibatul-Alimi dituduh mengedar dadah sama seberat 20.8 kg. Perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung But, Ketereh pukul 4.30 petang pada 5 Ogos lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati dan sekiranya tidak dijatuhi hukuman mati, hendaklah dipenjara seumur hidup dan tidak kurang daripada 12 sebatan jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Muhammad Hasif Hasan. Mahkamah menetapkan 16 Oktober dan 27 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, bagi pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen, Ahmad Ammar Rusydi turut didakwa atas pertuduhan memiliki sepucuk pistol dan 16 peluru di lokasi yang sama. Ahmad Ammar bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memiliki senjata api jenis jenis Glock AEKZ847 Mariner  dan 16 biji peluru hidup dengan menyalahi undang-undang. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam sebatan jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh diwakili peguam yang sama.  Mahkamah menetapkan 22 September ini bagi sebutan semula kes.

Terdahulu, dua beradik yang juga anak kepada seorang doktor klinik swasta dilaporkan diberkas polis selepas dipercayai menjadi dalang sindiket pengedaran dadah jenis ganja seberat 35 kg bernilai RM299,590 dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung But, Keterehpada 5 Ogos lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×