Penyelia tapak didakwa pindah wang haram RM2 juta

Penyelia tapak didakwa pindah wang haram RM2 juta

LAW Tuan Hai dibawa ke Mahkamah Sesyen Seremban hari ini bagi didakwa pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2 juta pada bulan Oktober 2023.-UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang penyelia tapak didakwa Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM2 juta pada Oktober 2023.

Tertuduh, Law Tuan Hai, 62, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohamad Kamil Nizam.

Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM2 juta daripada akaun semasa milik sebuah firma guaman yang mana tertuduh dengan curangnya memperdayakan seorang lelaki berusia 54 tahun untuk memindahkan wang RM2 juta tersebut ke akaun semasa miliknya.

Pemindahan wang itu dilakukan setelah tertuduh menipu lelaki berkenaan untuk mempercayai bahawa dia ingin menjual satu lot hartanah dengan geran bernombor hak milik GRN 283078 dalam daerah Tampin sedangkan dia bukan pemilik yang sah bagi hartanah tersebut.

Kesalahan itu dilakukan di Public Bank Berhad di Jalan Gurney, Bahau pada 27 hingga 31 Oktober 2023.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan pengubahan wang haram di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Terdahulu, pihak pendakwaan yang diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Natasha Chin Le Jy menawarkan jaminan sebanyak RM200,000. Tertuduh yang diwakili peguam, Low Huey Theng memohon jaminan paling minimum RM30,000 yang mana tertuduh akan dijamin oleh anak sulungnya iaitu seorang peguam.

Menurut Huey Theng, tertuduh berhadapan dengan satu lagi pertuduhan melibatkan jumlah yang sama RM2 juta di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Melaka pada April 2024. Perkara itu diakui oleh pihak pendakwaan yang memaklumkan kes pengubahan wang haram tertuduh hari ini akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Melaka kerana melibatkan transaksi, dokumen dan saksi yang sama.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM30,000 dengan syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan, menyerahkan pasport dan tidak menganggu saksi secara sendiri atau melalui pihak ketiga. Mahkamah turut menetapkan kes itu akan dituduh bersama dengan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Melaka pada tarikh sebutan 2 September depan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×