PETALING JAYA: Duduk rumah atau dikompaun. Hanya dua pilihan buat individu yang suka `merayau’ tanpa kebenaran ketika pelaksanaan Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan prosedur operasi standard (SPO) diketatkan mulai hari ini hingga 7 Jun ini.
Antaranya Sekatan Jalan Raya (SJR) lebih ketat, pusat beli-belah dibenar beroperasi hingga jam 8 malam dengan setiap pelanggan hanya boleh berada dalam premis itu maksimum dua jam, 80 peratus penjawat awam manakala 40 peratus bagi pekerja swasta melibatkan kira-kira 7 juta orang diarah bekerja dari rumah manakala kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dilarang dibawa ke tempat awam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim menegaskan, amaran pematuhan itu dibuat untuk memastikan rakyat di seluruh negara mematuhi semua SOP bagi mengekang wabak Covid-19 yang jangkitan hariannya melebihi 6,000 kes setiap hari.
Menurut beliau, bagi memastikan pematuhan ketat SOP tersebut, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menambahkan jumlah sekatan jalan raya (SJR), pemantauan di pusat beli-belah dan kawasan-kawasan awam oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan bantuan agensi lain bagi memastikan orang ramai mengikut arahan SOP.
“Contoh mulai hari ini, kita akan periksa dengan ketat dan teliti kenderaan yang bergerak selepas pukul 8 malam.
“Kalau bagi alasan baru balik makan kita bagi kompaun dan jika alasan baru balik kerja kita minta surat atau dokumen majikan.
“Individu yang suka `merayau’ hanya ada dua pilihan tunjukkan kebenaran atau dokumen sokongan boleh berada di luar rumah, jika gagal akan dikompaun,” katanya di sini semalam.
Terdahulu, Zainal Abidin berkata, sejak pelaksanaan PKP 3.0 ini, sebanyak 16,442 petugas melibatkan pelbagai pihak keselamatan ‘turun padang’ ke lokasi-lokasi Op Covid-19.
Menurut beliau, jumlah tersebut melibatkan 11,104 petugas menjaga SJR dan 5,338 lagi membuat pemantauan lain di semua premis.
Turut membantu PDRM ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sukarelawan Simpanan Polis (PVR) dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, sejak 12 Mei lalu hingga semalam, sebanyak 304,530 kenderaan diperiksa menerusi 427 SJR diadakan di seluruh negara.
Kata beliau, daripada jumlah itu, 1,242 kenderaan diarah berpatah balik kerana tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri dan daerah manakala 32 kompaun dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya.
“Kita turut bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam melakukan pemeriksaan terhadap 1,129 orang di 23 terminal dan 13 lebuh raya di seluruh negara,” katanya.
Selain itu, Zainal Abidin berkata, sebanyak 25,766 pemantauan turut dijalankan terhadap premis makanan dan minuman, rumah ibadat, premis perniagaan termasuk pusat beli-belah, stesen pengangkutan awam, majlis keraian, tempat riadah, institusi pengajian dan kawasan pelancongan.
Daripada jumlah itu, kira-kira 26,452 premis didapati mematuhi SOP manakala 657 diberikan nasihat selain tujuh amaran dan 140 kompaun dikeluarkan.
“Operasi pematuhan antara elemen di bawah JPJKK yang melibatkan kereta peronda polis (MPV), unit rondaan bermotosikal (URB), PVR bersama ATM.
“Kita juga mengerahkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di beberapa buah negeri bagi memantau pematuhan SOP di premis peruncitan termasuk pusat beli-belah lebih-lebih lagi tempoh masa maksimum dua jam hanya dibenarkan kepada orang ramai bermula Selasa ini,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan pihak pengurusan premis peruncitan atau pusat beli-belah untuk membantu pemantauan oleh pasukan keselamatan selain memastikan orang ramai mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19. – UTUSAN










