PORT DICKSON: Jabatan Perikanan Negeri Sembilan tidak menerima sebarang aduan berkenaan kupang dan kerang-kerangan lain dari perairan Port Dickson yang dijual secara murah.
Pengarahnya, Kasim Tawe berkata, susulan pengesahan kerang-kerangan dari perairan di sini yang dicemari biotoksin dan tidak selamat dimakan, arahan telah dikeluarkan supaya pengambilan, mengutip, mengeluar dan menuai kerang-kerangan dihentikan.
“Kami tidak menerima aduan seumpama itu dan sudah pun mengeluarkan arahan kepada semua nelayan untuk tidak mengambil, menuai atau menjual kerang-kerangan termasuk kupang dari perairan Port Dickson,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.
Katanya, tindakan awal diambil berjaya mengelak insiden keracunan akibat pengambil kerang-kerangan termasuk kupang seperti tahun lalu daripada berulang.
Katanya, tindakan awal bermula dengan aduan nelayan pada 5 Ogos lalu yang memaklumkan berlaku perubahan warna air laut iaitu kepada kemerahan.
Katanya, sampel kupang segera diambil pada 6 Ogos lalu untuk dianalisis dan hasil analisis mendapati bacaan biotoksin Paralytic Shellfish Poisoning (PSP) kupang dan kerang-kerangan di perairan Port Dickson melebihi 800 per bilion (ppb).
“Sampel kedua pada 12 Ogos lalu juga mendapati kandungan biotoksin masih di tahap bahaya. Bagaimanapun, pada tahun lalu, kita mendapati kepekatan biotoksin lebih tinggi sehingga merekodkan lapan kes keracunan makanan dan empat kes telah dirujuk ke unit rawatan rapi ” katanya.
Ujar Kasim lagi, biotoksin marin PSP merupakan biotoksin yang sama mencemari kupang di perairan di sini pada tahun lalu.
“PSP ini berpunca daripada makanan laut yang terdedah dengan biotoksin marin Paralytic Shellfish Toxin (PST) yang dihasilkan oleh beberapa speisis alga mikroskopik.
Menurutnya lagi, pertumbuhan alga berkenaan dipengaruhi oleh faktor seperti suhu, cahaya, nutrien dan aktiviti perkapalan.
“Kami akan mengambil sampel ketiga kupang pada minggu hadapan dan memantau keadaan setiap minggu hingga keputusan paras biotoksin rendah daripada paras yang dibenarkan,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang mengeluarkan hebahan larangan penjualan dan penuaian sumber kerang-kerangan (dwicengkerang) dari perairan Port Dickson berikutan pengesanan fenomena yang dipercayai merupakan ledakan alga.
Susulan keputusan sampel kupang yang diperoleh pada 6 dan 12 Ogos lalu, semua pengusaha dan penternak kupang melalui sistem pancang dan panggar kupang diminta menghentikan pengambilan, mengutip, mengeluar dan menuai kerang-kerangan dari perairan Port Dickson.-UTUSAN.










