TINGGAL di hotel berpotensi menjadi pilihan lebih berbaloi berbanding menyewa rumah bagi situasi tertentu, khususnya apabila hotel menawarkan pakej jangka panjang lengkap dengan kemudahan.
Selain kadar pakej yang lebih kompetitif, penginapan di hotel turut merangkumi kos utiliti, akses internet, pembersihan bilik, keselamatan 24 jam dan kemudahan asas lain yang biasanya memerlukan perbelanjaan tambahan jika menyewa rumah.
Faktor ini menjadikan hotel sebagai pilihan yang lebih mudah diurus, terutamanya bagi golongan profesional bujang atau individu yang kerap berpindah kerana urusan kerja.
Menjadi persoalan, adakah hotel benar-benar menawarkan penjimatan jangka panjang berbanding kos menyewa rumah atau sekadar pilihan praktikal untuk gaya hidup tertentu?
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA) merangkap Presiden Malaysian Tourism Federation (MTF), Dr. Sri Ganesh Michiel berkata, konsep tersebut sesuai untuk tempoh penginapan antara sebulan hingga tiga bulan, manakala bagi keluarga besar atau tempoh melebihi enam bulan, sewa rumah lazimnya kekal lebih ekonomi.
“Bagi individu atau pasangan yang bekerja di lokasi strategik, kadar promosi long-stay hotel mampu menandingi kos sewa kediaman kerana tiada kos penyelenggaraan atau pembelian perabot.
“Sewa rumah biasanya memerlukan deposit dua hingga tiga bulan selain kos utiliti, internet, parkir dan penyelenggaraan.
“Sebaliknya, kadar penginapan jangka panjang di hotel bagi tempoh 14 hingga 30 malam atau lebih sering merangkumi semua kemudahan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, faktor lain yang membuatkan hotel lebih berbaloi termasuk kemudahan gimnasium, kolam renang, ruang kerja bersama, fleksibiliti keluar awal, tiada risiko kos penyelenggaraan dan perkhidmatan housekeeping.
Bagaimanapun, beliau berkata, buat masa ini, tiada statistik nasional khusus menjejak permintaan penginapan jangka panjang di hotel.
“Ini memandangkan data pelancongan rasmi hanya mengukur ketibaan pelancong dan purata tempoh penginapan. Namun, banyak hotel di Malaysia kini memasarkan promosi penginapan jangka panjang,” ujarnya.
Katanya, penginapan jangka panjang di hotel lebih sesuai untuk ekspatriat sementara, profesional projek, nomad digital, pesakit dan pengiring rawatan serta keluarga dalam fasa peralihan rumah.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kos penginapan, beliau berkata, ia bergantung kepada lokasi dan tempoh penginapan.
“Bagi sewaan rumah, kadar bulanan asas kebiasaannya lebih rendah, namun penyewa perlu mengambil kira kos tambahan seperti deposit, utiliti, internet, parkir, perabot dan penyelenggaraan.
“Namun, bagi hotel penginapan jangka panjang, kadar harian yang diturunkan untuk tempoh antara 14 hingga 30 malam atau lebih lazimnya sudah merangkumi utiliti, perkhidmatan pembersihan dan tempat letak kereta.
“Ini sekali gus menjadikannya pilihan yang kompetitif khususnya bagi individu atau pasangan yang menetap di kawasan pusat bandar,” katanya.
Sri Ganesh berkata, beliau menjangkakan permintaan akan meningkat dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang dipacu pemulihan pelancongan, mobiliti kerja hibrid dan strategi Malaysia sebagai hab nomad digital ASEAN.
“Kenaikan kos sewa kediaman di bandar besar juga boleh menjadikan hotel penginapan jangka panjang lebih relevan bagi penginapan pendek hingga sederhana.
“Selain itu, kami mengesyorkan pihak industri membangunkan pakej bulanan telus termasuk housekeeping mingguan, parkir percuma dan perkhidmatan dobi, menyediakan kemudahan hidup dan kerja seperti pantri serta internet stabil.
“Mereka juga boleh melaksanakan segmentasi harga mengikut pasaran dan bekerjasama dengan agensi seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), hospital, syarikat projek serta universiti untuk menjamin aliran penyewa,” katanya.
Sementara itu, Pengarah iBilik, Dino Loh berkata, kecenderungan golongan muda memilih hotel sebagai penginapan jangka panjang semakin meningkat berikutan faktor penjimatan kos dan masa perjalanan, sekali gus menjadi alternatif kepada penyewaan rumah.
Menurutnya, syarikat itu kini mempunyai lebih 10,000 bilik di seluruh negara dengan kadar sewaan bermula serendah RM800 sebulan bagi penginapan jangka panjang.
“Semua bilik hotel dilengkapi bilik air sendiri berbanding rumah yang memerlukan perkongsian tandas, sekali gus mengurangkan masalah kebersihan.
“Kebanyakan hotel juga terletak di kawasan komersial utama dan berhampiran pengangkutan awam seperti bas dan tren, malah ada yang boleh berjalan kaki ke tempat kerja,” katanya.
Majoriti penyewa penginapan jangka panjang syarikat itu berusia antara 20 hingga 30 tahun, dengan kebanyakan mereka memilih hotel kerana lebih berbaloi dari segi kos berbanding menyewa rumah di kawasan pinggir bandar.
“Sebagai contoh, menyewa bilik di Rawang mungkin hanya RM400, tetapi memerlukan perjalanan hampir dua jam setiap hari ke Bukit Bintang. Kos tol, petrol dan parking boleh melebihi RM1,000 sebulan,” katanya. – UTUSAN










