KUALA LUMPUR: Bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac yang dijadual diterima pada akhir Jun ini dijangka tidak berdepan sebarang halangan daripada orang ramai.
Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM), Datuk Dr. Kuljit Singh berkata, bekalan vaksin dengan jumlah sebesar itu akan menarik orang ramai mendapatkan vaksin seperti AstraZeneca yang diberikan secara terbuka dan sukarela sebelum ini.
“Kalau lihat daripada pengalaman dalam pemberian vaksin AstraZeneca pun, ramai yang berebut mahu dapatkan vaksin ini yang membuktikan ramai mahukan vaksin dalam kadar cepat.
“Walaupun jumlah sudah divaksinasi hanya kira-kira juta orang, jika vaksinasi melalui bekalan 8.2 juta dos ini sampai dan dijalankan dengan cepat, kita sudah hampir separuh sasaran vaksinasi.
“Pada sudut lain, saya tak menafikan ada segelintir pihak yang masih was-was mengenai vaksin dan semua pihak harus memainkan peranan untuk memberi pemahaman kepada mereka tentang kepentingan vaksin,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini semalam.
Kerajaan semalam mengumumkan bakal menerima 8.2 juta dos vaksin Sinovac pada akhir Jun hasil kerjasama dengan Pharmaniaga Berhad.
5 Mei lalu, kerajaan memulakan vaksinasi melalui suntikan vaksin AsraZeneca secara sukarela yang melibatkan 268,000 dos vaksin kepada penerima di seluruh Selangor dan Kuala Lumpur.
Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) merekodkan, sejumlah 10,703,736 orang sudah mendaftarkan vaksin dan 1,593,151 penerima berjaya divaksinasi.
Dalam pada itu, Kuljit yakin vaksin Sinovac yang bakal diterima dapat mempercepatkan proses vaksinasi selaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Ini sekali gus dapat memangkinkan sasaran imuniti berkelompok 80 peratus dalam masa yang ditetapkan atau lebih awal jika vaksinasi berjalan dengan lancar;
“Bagaimanapun, ia hanya akan tercapai jika rakyat bekerjasama dengan kerajaan mendaftar untuk menerima vaksin tersebut. Sekarang sudah ada sejuta lebih yang mendapatkan vaksin, jadi dengan kemasukan lebih banyak lagi bekalan vaksin, sudah pasti kita dapat mengekang penularan wabak ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE










