LARUT: Hubungan baik Malaysia dengan negara-negara lain menyediakan peluang buat peniaga dan usahawan tempatan untuk menerokai pasaran luar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peranan negara menyelesaikan perbalahan Thailand-Kemboja baru-baru ini antara contoh tindakan yang menaikkan imej Malaysia.
“Apabila ada perbalahan, peperangan di antara Kemboja dengan Thailand. Susu Thailand tak boleh masuk ke Kemboja, susu Farm Fresh (syarikat Malaysia) telah masuk ke Kemboja.
“Kerana hubungan kita dengan Thailand dan Kemboja baik, beritahu bila nak bawa, buka ladang di sana, kita (kerajaan) akan bagi kerjasama sepenuhnya. Itu manfaat berkawan dengan negara-negara luar ini.
“Banyak orang kadang-kadang di Parlimen dia singgung. Tidak mengapa, kita tahu manfaatnya (berbaik dengan negara asing),” katanya semasa melawat kompleks tenusu syarikat Farm Fresh sempena Karnival Usahawan Tenusu Madani di sini, hari ini.
Julai lalu, Anwar menjadi orang tengah untuk menyelesaikan ketegangan antara dua negara berjiran itu yang hampir terjerumus ke dalam konflik peperangan akibat perebutan kawasan.
Perdana Menteri juga berkata, syarikat Malaysia kini sudah berkembang maju sekali gus menepis tanggapan dunia kononnya negara tiada berkemampuan.
Katanya, beliau pernah menjadi Menteri Pertanian dan ada percubaan untuk melakukan aktiviti penternakan, namun tidak membawa kejayaan.
“Sukar kerana cuaca dan teknologi pada masa itu kita tidak kuasai. Jadi tidak berhasil dan malah gagal dengan dana jutaan ringgit kerugian,” katanya.
Beliau mahu menggunakan kedudukannya kini untuk menyokong perkembangan syarikat-syarikat tempatan terutama menceburi sektor yang sebelum ini sukar dijayakan.
“Satu masa dahulu, ada syarikat antarabangsa, mereka tidak percaya di Malaysia boleh kita hasilkan begini (tenusu). Saya tak mahu sebut kerana sensitif, kerana mereka juga melabur.
“Ada dua tiga syarikat gergasi, raksasa di Malaysia ini yang menjual susu, daging dan sebagainya yang tidak percaya bahawa Malaysia mampu menggerakkan kekuatan bidang pertanian, tenusu seperti mana dilakukan oleh Farm Fresh,” katanya. – UTUSAN










