Tiada mayat, bahan kimia dalam ‘kapal hantu’

Tiada mayat, bahan kimia dalam ‘kapal hantu’

PASUKAN Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) membuat pemeriksaan ke atas sebuah ‘kapal hantu’ di Pangkalan Bekalan Kemaman, di Kemaman, Terengganu, semalam. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pemeriksaan ke atas ‘kapal hantu’ yang hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A, Perairan Terengganu di sini, tidak menemukan sebarang bahan kimia berbahaya dan mang­sa di dalam kapal itu.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Abdul Halim Hamzah berkata, 17 anggota dari Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan tiga pegawai Jabatan Laut Malaysia masuk ke kapal tiga tingkat itu kira-kira pukul 3.30 petang semalam.

“Pada peringkat awal pe­meriksaan, terdapat bau di dalam kapal itu namun selepas pemeriksaan dibuat, bau itu adalah bau bahan mentah yang rosak daripada peti sejuk.

“Pasukan Hazmat menggunakan dua alat pengesanan berteknologi tinggi iaitu four gas meter dan gasmet. Hasil pemeriksaan di seluruh kapal itu berada dalam keadaan normal dan tiada bahan kimia berbahaya ditemukan,” katanya semalam.

Abdul Halim berkata, pe­meriksaan selama satu jam di atas kapal berukuran 53.7 meter panjang dan 10 meter lebar itu juga tidak menemukan sebarang mangsa.

“Tiada kru dikesan berada atas kapal dan ia diserahkan kepada Jabatan Laut Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan ‘kapal hantu’ yang dikesan hanyut di kawasan Pelantar Semangkok A Selasa lalu tiba di Pangkalan Bekalan Kemaman selepas ditunda lebih dua hari, sejauh 140 batu nautika

Kapal tanpa kru itu dipercayai mempunyai kaitan de­ngan insiden kapal tangki terbakar pada kedudukan 36 batu nautika Tanjung Sedili Kecil, Johor pada 6 Ogos lalu. Dalam kejadian itu, seorang kru kapal warga Indonesia maut manakala empat lagi cedera.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×