GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan bahawa lebih 14,800 pesakit di wilayah Gaza memerlukan rawatan perubatan kritikal yang ketika ini tidak dapat disediakan akibat sekatan dan konflik yang berterusan.
Ketua Pengarah WHO, Dr. Tedros Adhanom Ghebreyesus, dalam satu kenyataan pada Khamis, menggesa laluan rujukan perubatan dari Gaza ke Tebing Barat, termasuk Baitulmuqaddis Timur, diaktifkan semula dengan segera sebelum terlambat.
Beliau memaklumkan WHO setakat ini telah memudahkan pemindahan seramai 32 kanak-kanak dan enam pesakit dewasa dari Gaza, disertai 99 ahli keluarga mereka.
Daripada jumlah itu, 25 kanak-kanak dan enam pesakit dewasa telah dibawa ke Itali, lima kanak-kanak ke Belgium dan dua kanak-kanak ke Turkiye
Tedros turut menekankan lebih ramai pesakit memerlukan bantuan segera, namun kekangan logistik dan keselamatan menyebabkan usaha menyelamat nyawa ini terhenti.
Serangan berterusan oleh Israel terhadap Gaza sejak 7 Oktober 2023 meragut 61,722 nyawa dan mencederakan lebih 154,525 orang, menurut laporan Agensi Berita Qatar (QNA).
Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing ini terus mencetuskan desakan antarabangsa agar akses perubatan dan bantuan kemanusiaan dibuka tanpa halangan kepada penduduk Gaza yang menderita.











