Trump komited 'selamatkan' aktivis demokrasi Hong Kong, Jimmy Lai - Utusan Malaysia

Trump komited ‘selamatkan’ aktivis demokrasi Hong Kong, Jimmy Lai

DONALD Trump turun dari pesawat selepas menghadiri Sidang Kemuncak NATO di Maryland, Amerika Syarikat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyatakan komitmennya untuk “melakukan segala yang termampu” bagi membantu membebaskan tokoh media dan aktivis demokrasi Hong Kong, Jimmy Lai, yang kini ditahan di bawah undang-undang keselamatan negara yang diperkenalkan China.

Dalam temu bual bersama Fox News Radio, Trump berkata, beliau akan lakukan segala yang mampu untuk menyelamatkannya.

“Kita akan lihat apa yang boleh dilakukan,” katanya.

Beliau turut mengakui usaha ini mungkin tidak disukai oleh Presiden China, Xi Jinping.

Jimmy Lai, 77, merupakan pengasas akhbar pro-demokrasi Apple Daily, yang kini telah ditutup.

Beliau dikenali sebagai antara suara paling lantang menentang pengaruh Beijing di Hong Kong.

Jimmy dituduh berkonspirasi untuk bersekongkol dengan kuasa asing dan menerbitkan bahan berunsur hasutan, di bawah undang-undang keselamatan negara yang dilaksanakan pada 2020.

Sejak penahanannya pada Disember 2020, Jimmy telah ditahan selama lebih 1,500 hari dan kini menjalani tahanan bersendirian. Jika sabit kesalahan, beliau berdepan hukuman penjara seumur hidup.

Jurucakap Kedutaan China di Washington menolak sebarang campur tangan asing, dan menyifatkan Jimmy sebagai “perancang utama aktiviti anti-China” yang didakwa menggugat kestabilan di Hong Kong.

Trump juga menyatakan hasrat untuk membangkitkan isu penahanan Jimmy dalam rundingan perdagangan dengan China yang kini sedang memasuki fasa lanjutan selama 90 hari.

Kes Jimmy telah mendapat perhatian meluas di peringkat antarabangsa, termasuk daripada pemimpin United Kingdom dan kumpulan hak asasi manusia, yang melihatnya sebagai simbol kepada penindasan terhadap kebebasan bersuara di Hong Kong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×