Warga emas setia jadi pengusaha kacang tanah

Warga emas setia jadi pengusaha kacang tanah

BANUM Jusoh (kiri) dan Midah Ibrahim antara warga emas yang masih setia mengusahakan tanaman kacang tanah di Kampung Kuala Menjing, di Hulu Terengganu, Terengganu.– UTUSAN/NOOR HAYATI MAMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU TERENGGANU: Meskipun tanaman kacang tanah di daerah ini tidak lagi menjadi pilihan se­pertimana zaman ‘kegemila­ngannya’ sekitar 1960-an hingga 1980-an, masih terdapat dalam kalangan warga emas yang setia mengusahakannya sehingga kini.

Seorang pengusaha, Banum Jusoh, 83, dari Kampung Kuala Menjing berkata, dia adalah antara individu terawal menanam kacang tanah berhampiran Sungai Tersat di kampung tersebut atas keluasan hampir 0.2 hektar selain jagung dan ubi.

Moyang kepada 14 cicit itu berkata, sejak lebih 60 tahun lalu, rutin hariannya hampir setiap hari seawal pukul 7 pagi hingga menjelang tengah hari berada di kawasan kebun untuk ‘berbudi’ kepada tanah dan berasa seperti ada sesuatu tidak kena jika tidak berbuat demikian.

“Dahulu, saya dan arwah suami usahakan tanaman ini untuk menampung hidup, sekarang lebih kepada mengisi masa lapang. Lagipun, tanam kacang sudah sebati dalam kehidupan seharian, kesihatan juga masih mengizinkan.

“Kalau dibandingkan, dulu bukan sahaja ramai yang tanam kacang tanah tetapi musim tuai hasil ibaratkan sebagai pesta keluarga apabila masing-masing turut serta membantu mencabut kacang,” katanya semalam.

Menurut Banum, kcang tanah hasil usaha petani di daerah ini seperti Kampung Kuala Menjing, Bukit Gemuruh dan Durian Bador pernah dibekalkan ke sebuah kilang produk kacang di Perak suatu masa dahulu.

“Biasanya kami tanam kacang tanah ini dua kali setahun, dalam tempoh tiga hingga empat bulan sudah boleh tuai hasilnya. Musim kali ini mula dituai awal Ogos dan saya dapat hasil jualan setakat ini kira-kira RM1,500.

“Jika sebelum ini kacang tanah dijual dalam sukatan secupak tetapi kini RM10 sekilogram dan kebiasaannya pembeli yang merupakan penduduk serta komuniti setempat datang ke kebun,” katanya.

Seorang lagi warga emas, Midah Ibrahim, 69, berkata, dia mengusahakan tanaman kacang tanah sejak lebih 40 tahun lalu dan cuba mempertahankannya selagi ada kudrat kerana satu kerugian jika dibiarkan terkubur.

Katanya, kacang tanah itu ditanam di atas tanah seluas kira-kira 1.6 hektar ini yang urut diusahakan saudara-maranya.

“Hasil tanaman tidak menentu, ada ketikanya saya peroleh lebih 300 kilogram semusim. Kacang yang dicabut turut dijadikan benih untuk tanaman peringkat atau musim seterusnya tetapi ia perlu dijemur dua hingga tiga minggu terlebih dahulu agar betul-betul kering.

“Selain saya, terdapat empat hingga lima orang sahaja lagi yang masih kekal usaha tanam kacang tanah di sini. Dulunya, kebanyakan penduduk usahakan kacang yang juga dipanggil kacang jawa. Menjelang 1990-an, ramai beralih pada tanaman getah dan kelapa sawit manakala generasi muda pula tidak begitu berminat,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×