PETALING JAYA: Ibu kepada Allahyarham Zara Qairina Mahathir, mengakui tidak dapat berfikir secara waras ketika diminta membuat keputusan sama ada mahu membenarkan proses bedah siasat ke atas jenazah anaknya dijalankan atau tidak.
Noraidah Lamat, 45, berkata, keadaan panik dan kekalutan selepas kematian anaknya menyebabkan beliau tidak memahami sepenuhnya proses tersebut, malah tidak menerima penerangan jelas daripada mana-mana pihak.
“Kami terkejut, panik dan tidak mampu membuat keputusan waras ketika kejadian. Memang tiada penerangan yang jelas, kami tidak biasa dengan kes macam ini. Kalau kami tahu, kami tidak akan sekali-kali menolak post-mortem.
“Boleh bayangkan keadaan kami sekarang? Kematian ini berlaku begitu cepat, hanya satu malam di Hospital Queen Elizabeth (HQE), 20 jam selepas dimasukkan ke Wad Neuro,” katanya menerusi hantaran komen di Facebook menggunakan nama Noie AiDa.
Peguamnya, Hamid Ismail, mengesahkan akaun dengan nama pengguna ‘Noie AiDa’ adalah milik ibu kepada pelajar tingkatan satu itu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar mendedahkan pasukan Task Force yang memulakan siasatan pada Isnin lalu mendapati terdapat ketidakpatuhan kepada prosedur siasatan yang mana pegawai penyiasat tidak membuat permohonan untuk proses bedah siasat terhadap jenazah Zara Qairina.
Sehubungan itu, beliau dilapor berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai penyiasat dan penyelia kerana tiada penyeliaan.
Bagaimanapun katanya, terdapat persetujuan atau permohonan daripada ibu mangsa supaya bedah siasat tidak dibuat.
Persetujuan ini direkodkan dengan tandatangan oleh ibu mangsa, doktor, patologi dan pegawai penyiasat dalam satu dokumen ‘Surat Akuan Enggan Bedah Siasat Mayat Atas Kemahuan Sendiri’ yang dikeluarkan pihak hospital. – UTUSAN









