CANBERRA: Pasangan yang memulakan hubungan secara dalam talian didapati kurang berpuas hati dalam perkahwinan dan mengalami tahap cinta yang lebih rendah berbanding mereka yang berkenalan secara bersemuka.
Dapatan itu hasil kajian melibatkan 6,646 individu dari seluruh dunia oleh sekumpulan penyelidik yang menilai kaedah perkenalan pasangan dan tahap kepuasan hubungan mereka.
Secara keseluruhan, 16 peratus peserta kajian berkenalan secara dalam talian, dengan angka itu meningkat kepada 21 peratus bagi hubungan yang bermula selepas tahun 2010.
“Peserta yang bertemu pasangan secara dalam talian melaporkan tahap kepuasan dan keintiman, semangat serta komitmen yang lebih rendah berbanding mereka yang bertemu secara luar talian,” kata Adam Bode dari Universiti Kebangsaan Australia.
Antara faktor yang dikenal pasti ialah pasangan yang bertemu secara bersemuka cenderung mempunyai latar belakang sosial dan pendidikan yang lebih serupa, sekali gus menyumbang kepada keserasian nilai hidup, pandangan dunia serta sokongan sosial yang lebih baik.
Sebaliknya, aplikasi dan platform dalam talian menawarkan pilihan pasangan yang terlalu banyak sehingga menimbulkan fenomena pilihan berlebihan yang boleh menjejaskan kualiti hubungan.
Kajian yang diterbitkan dalam jurnal Telematics and Informatics itu turut mendapati tiada bukti golongan muda lebih cenderung mencari pasangan secara dalam talian, menunjukkan trend ini kini melibatkan semua peringkat umur.
Namun, penyelidik mendedahkan penggunaan awal aplikasi temu janji kebanyakannya bertujuan mencari pasangan seumur hidup, tetapi kini lebih banyak digunakan untuk hubungan sementara tanpa komitmen, yang mungkin menyumbang kepada penurunan kualiti hubungan.
Tambah Bode, interaksi secara maya juga berisiko menutup mata terhadap tanda amaran awal yang lebih mudah dilihat dalam pertemuan bersemuka.
Meskipun begitu, beliau menegaskan dengan populariti aplikasi temu janji yang terus meningkat di seluruh dunia, hasil kajian ini menunjukkan keperluan untuk meningkatkan sokongan dalam memperkukuh kualiti hubungan, khususnya bagi pasangan yang berkenalan secara dalam talian. -AGENSI










