PETALING JAYA: Strategi ‘lawan dahulu, bekerjasama kemudian’ oleh Barisan Nasional (BN) Sabah dalam pertembungan 11 kerusi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu disifatkan berisiko tinggi boleh memberi kelebihan besar kepada lawan.
Pakar Komunikasi Politik, Perhubungan Awam Kerajaan dan Perang Saraf dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad berkata, pendekatan itu berpotensi memecahkan undi blok kerajaan sehingga melemahkan peluang mereka mempertahankan kerusi.
Menurutnya, pertembungan di 11 kerusi antara UMNO dan GRS membuka ruang kepada lawan untuk memenangi kawasan terbabit walaupun dengan majoriti undi yang tipis.
“Dalam sistem pilihan raya first-past-the-post, perpecahan undi akan memberi kelebihan kepada lawan. Calon pembangkang boleh menang walaupun tidak mendapat sokongan majoriti keseluruhan, asalkan undi kerajaan terbahagi kepada dua.
“Situasi ini boleh menyebabkan kehilangan kerusi penting dan melemahkan kedudukan kerajaan negeri,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau turut mengingatkan sejarah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) membuktikan bagaimana perpecahan undi boleh mengubah landskap politik negara apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya mengambil alih Kerajaan Persekutuan.
“Selain kesan di peti undi, strategi itu juga dikhuatiri menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi.
“Pengundi mungkin melihat pertembungan ini sebagai tanda ketidakstabilan politik. Mereka mahu parti yang mampu menawarkan kestabilan, bukan sekadar menang pilihan raya tetapi gagal membentuk kerajaan yang kukuh selepas itu,” katanya.
Semalam, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin menyatakan kerjasama antara parti itu dengan mana-mana parti Sabah lain hanya dilakukan selepas pilihan raya.
Katanya, langkah itu disebabkan pertindihan kerusi yang tidak dapat dielakkan antara UMNO dan GRS.
Dalam pada itu, Syahruddin berkata, isu kestabilan politik di Sabah amat sensitif memandangkan negeri itu sering berdepan pergolakan dan perubahan kerajaan dalam tempoh singkat.
“Pertindihan 11 kerusi antara UMNO dan GRS juga dijangka mencetuskan ketegangan di peringkat akar umbi apabila kedua-dua parti terpaksa merebut sokongan pengundi yang sama.
“Konflik dalaman sebegini akan melemahkan semangat kerjasama yang diperlukan untuk membentuk kerajaan stabil selepas PRN. Ia juga menunjukkan kegagalan dalam rundingan pembahagian kerusi dan masalah kepercayaan antara kedua-dua parti,” katanya.
Tambahnya, ketegangan ini mencerminkan hubungan dingin antara BN Sabah dan GRS, walaupun kedua-duanya berada dalam gabungan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Katanya, krisis politik awal tahun lalu, termasuk ‘Langkah Kinabalu’ di mana BN Sabah cuba menjatuhkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menjadi faktor yang merenggangkan hubungan.
“Di peringkat negeri, kepentingan dan agenda politik BN Sabah dan GRS sering bercanggah. Strategi ‘lawan dulu, bekerjasama kemudian’ adalah pengakuan tidak langsung bahawa mereka sukar mencapai kata sepakat sebelum pilihan raya,” katanya.-UTUSAN.










