PETALING JAYA: Ahli keluarga tidak sepatutnya dijadikan sasaran dalam sebarang perbezaan pandangan atau perbalahan politik, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fahdli.
Beliau mengulas insiden membabitkan anak bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli yang dilaporkan dicucuk dengan jarum dalam satu insiden di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya, petang tadi.
“Harapnya insiden ini tiada kaitan dengan politik. Namun, jika sebaliknya, ia bermaksud dunia politik di negara ini sudah sampai ke satu peringkat yang bahaya. Ini sangat tidak baik untuk negara,” katanya dalam facebook hari ini.
Menurut Ahmad Fadhli, setiap individu mempunyai keluarga dan perkara itu harus dihormati walaupun berbeza ideologi politik.
“Kita semua ada keluarga, dan keluarga tidak boleh sama sekali dijadikan sasaran jika ada perbezaan politik. Semoga saudara Datuk Seri Rafizi Ramli dipermudahkan urusan untuk menghadapi isu ini,” katanya.
Terdahulu dilaporkan, anak bekas Menteri Ekonomi itu didakwa diserang secara fizikal oleh orang tidak dikenali di sebuah pusat beli belah di Putrajaya hari ini.
Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Sepang Norhizam Bahaman, yang hadir ke hospital tempat anak Rafizi dirawat.
Maklumat mendapati bahawa serangan berlaku di luar kawasan sebuah pusat beli- belah di Putrajaya pada pukul 1.30 petang ini. – UTUSAN











