Ke mana hala tuju pendidikan tinggi negara?

Ke mana hala tuju pendidikan tinggi negara?

KITA tidak boleh sekadar menghasilkan graduan yang kompeten dari segi teknikal sahaja tetapi membentuk insan yang berdaya tahan, beretika dan berakar dalam nilai-nilai murni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-baru ini, pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menganjurkan sesi orientasi bersama para dekan dan pengarah. Program ini bukan sekadar menyelaraskan hala tuju institusi, tetapi juga ruang untuk kami merenung siapa sebenarnya diri kita sebagai pendidik. Dalam dunia yang semakin pantas berubah ini, peranan seorang pendidik kini bukan sahaja untuk mengajar tetapi untuk membimbing, memberi inspirasi dan membina kepercayaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Orientasi ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan ke manakah hala tuju pendidikan tinggi kini? Dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), gangguan global yang tidak menentu dan hilangnya sentuhan kemanusiaan dalam pendidikan, kita perlu kembali bertanya: Apa makna sebenar menjadi seorang pendidik hari ini? Sudah jelas bahawa kita tidak boleh sekadar menghasilkan graduan yang kompeten dari segi teknikal sahaja. Kita perlu membentuk insan yang berdaya tahan, beretika dan berakar dalam nilai-nilai murni.

Kita sering bercakap tentang masa depan universiti, namun perbincangan yang sebenar adalah tentang kembali ke jiwa sebenar pendidikan. Kita perlu cari semula True North kompas yang menyelaraskan tindakan kita dengan kebenaran, keikhlasan dan impak yang bermakna. Dalam peranan ini, kepimpinan dalam pendidikan bukanlah tentang kuasa, tetapi tentang keaslian. Dan walaupun masa depan tampak tidak pasti, ia tetap menjanjikan sesuatu yang baik jika kita terus memimpin dengan niat yang jelas dan tidak lupa jiwa di sebalik perkhidmatan kita.

Sebagai langkah ke hadapan, harus percaya arah ini mesti berasaskan pendidikan berteraskan nilai, yang telah lama diterapkan oleh institusi seperti UIAM yang mengasaskan pendidikan kepada epistemologi tawhidik. Persoalannya bukan sekadar “Apa yang perlu diajar oleh universiti?” tetapi “Siapa yang kita mahu lahirkan sebagai graduan?”. Selama berdekad, universiti sering dilihat sebagai menara gading yang mengejar prestij akademik dan output penyelidikan. Walaupun perkara itu penting, jika terlalu taksub kepada ranking global dan metrik pasaran, kita mungkin kehilangan roh sebenar pendidikan.

Apa yang pelajar perlukan hari ini bukan sekadar kemahiran, tetapi tujuan. Mereka perlu dipersiapkan bukan sahaja untuk pekerjaan, tetapi untuk kepimpinan yang beretika, tanggungjawab sivik dan pembelajaran sepanjang hayat.

Dan sebab itu, apabila konsep True North dikemukakan, universiti yang berpaksikan kepercayaan, kebenaran dan transformasi tidak akan mudah terikut-ikut dengan trend semasa. Ia menjadi sauh kepada masyarakat, tempat ilmu dikejar dengan keikhlasan, nilai-nilai etika dipupuk, dan anak muda dipersiapkan untuk memberi manfaat kepada umat. Lebih penting lagi, inilah titik mula memulihkan keyakinan masyarakat terhadap institusi pengajian tinggi. Kepercayaan itu hadir bila institusi bersikap telus, adil dan berintegriti, bukan sahaja dalam tadbir urus, tetapi juga dalam cara mereka melayan pelajar, staf dan pihak berkepentingan. Kepercayaan akan hancur bila keputusan dibuat demi nama dan imej semata-mata. Pada masa yang sama, universiti juga mesti percaya kepada pelajarnya dengan menyediakan ruang untuk berdikari, berkarya dan berdialog secara terbuka.

Denyut nadi sebenar sesebuah universiti yang inilah harus membentuk cara kita mengajar, membuat penyelidikan dan berinteraksi dengan masyarakat. Tapi mari kita jujur, dengan dunia yang penuh kekeliruan dan perbezaan pendapat yang membarah hari ini, universiti perlu berdiri teguh sebagai benteng kepada pemikiran jujur, dialog terbuka dan kebebasan akademik.

Di UIAM, kita tidak memisahkan ilmu daripada nilai. Kita memegang teguh epistemologi tawhidik, cara memandang ilmu yang mengakui bahawa semuanya bersambung dan bersumber dari keesaan Allah. Dalam pandangan ini, menuntut ilmu bukan sekadar mengisi kepala dengan fakta, tetapi tentang niat, keikhlasan dan menggunakan ilmu untuk kebaikan umat manusia. Ada yang kata pendekatan falsafah seperti ini terlalu abstrak, teologikal, atau idealistik. Bila dihayati dan lihat pelajar kita bukan sahaja meningkat dari segi kemahiran, tapi juga dari segi jiwa dan niat dan itulah saat pendidikan menjadi benar-benar bermakna dan transformatif.

Sebuah universiti hanya boleh memberi perubahan sebenar jika kekal jujur kepada tujuan asalnya. Ini bermaksud kita mesti mereka bentuk pengalaman pembelajaran yang melangkaui bilik kuliah, di mana pelajar diajak untuk turun ke lapangan, menyelesaikan masalah sebenar dan membina nilai etika dalam setiap tindakan. Dalam masa yang sama, universiti juga perlu sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu dengan tangkas menyesuaikan diri dengan teknologi, menangani isu sosial dan menyediakan pelajar untuk masa depan yang belum tentu wujud.

Secara peribadi, sebagai pensyarah dalam bidang pergigian di UIAM, saya melihat arah ini terpancar dalam fokus kita kepada kecemerlangan ummatik. Ia bermula dengan nilai yang kuat berpaksikan iman, membentuk pemikiran yang bukan hanya mengejar kejayaan peribadi, tetapi juga memberi manfaat kepada masyarakat. Kita mahu melahirkan graduan yang bukan sekadar fikirkan tentang diri sendiri, tetapi sanggup berbakti dan menyumbang kepada masyarakat secara keseluruhan.

Dalam orientasi itu juga, Rektor UIAM, Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar berkongsi satu refleksi yang membuka mata tentang arah masa depan universiti. Beliau merujuk kepada satu tinjauan nasional yang menyenaraikan lapan keutamaan rakyat Malaysia terhadap universiti.

Antara lapan dapatan tinjauan tersebut ialah kemampanan kewangan, ranking global, kebolehpasaran graduan, pertumbuhan pelajar, konsep diversiti, ekuiti dan keterangkuman (DEI), akses pendidikan, AI, dan kesihatan planet. Ini menunjukkan bahawa inilah kompas yang sebenar. Ia bukan sekadar dasar, tetapi petunjuk yang saling berkaitan dan seharusnya menjadi asas kepada transformasi universiti Malaysia.

Satu persoalan untuk direnungkan: Di manakah kedudukan kita sebagai universiti di Malaysia hari ini? Kalau tanya saya, kita semua kini di persimpangan. Kita boleh terus mengejar ranking dan imej, atau kita boleh berhenti sejenak, melihat ke dalam diri dan memilih untuk mengembalikan erti sebenar sesebuah universiti, institusi yang dibina atas tujuan, nilai dan kepimpinan.

Kerana pada akhirnya, True North pendidikan bukan diukur dari berapa ramai graduan yang kita lahirkan, tetapi siapa mereka dan bagaimana mereka mengubah dunia menjadi lebih baik, lebih adil dan lebih bermakna. Itulah transformasi yang patut kita perjuangkan. – UTUSAN

PENULIS ialah Kapt (B) Profesor Madya Dr. Mohd Haikal Muhamad Halil, Dekan, Kulliyah Pergigian, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Kuantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN