Dalam kesibukan dunia kerja yang menuntut pencapaian dan prestasi tinggi, nilai kemanusiaan seperti kebersamaan dan semangat kerjasama sering kali terpinggir. Justeru, organisasi perlu mencari pendekatan baharu yang lebih segar dan praktikal untuk mengukuhkan hubungan dalaman.
Antara pendekatan yang semakin mendapat perhatian ialah aktiviti luar seperti mendaki. Fakulti Pendidikan Universiti Malaya telah memulakan langkah progresif dengan menjadikan aktiviti ini sebagai medium membina hubungan dan kerjasama antara kakitangan.
Berbanding latihan formal dalam bilik seminar, mendaki memberikan pengalaman pembelajaran yang lebih praktikal dan autentik. Dalam suasana yang tidak formal, peserta berpeluang mengenali karakter dan kekuatan rakan sekerja melalui cabaran fizikal dan mental. Sifat kepimpinan, empati, daya tahan dan kebolehan berkomunikasi muncul secara semula jadi apabila semua berada dalam kedudukan setara, saling membantu dan menyokong untuk menamatkan pendakian.
Aktiviti ini turut berfungsi sebagai ruang refleksi diri dan terapi semula jadi. Ia membantu menyegarkan bukan sahaja tubuh, tetapi juga semangat dan emosi. Melalui interaksi santai dan tanpa hierarki, hubungan antara pensyarah, pentadbir dan staf sokongan menjadi lebih erat, seterusnya mengurangkan jurang komunikasi dan memperkukuh budaya saling menghargai.
Ramai menyatakan program ini membuka mata terhadap pentingnya saling memahami dan menyedari kejayaan organisasi bukan bergantung kepada individu tetapi sinergi kolektif.
Dalam era pasca pandemik yang menekankan keseimbangan antara prestasi kerja dan kesejahteraan mental, pendekatan seperti ini menjadi semakin relevan. Kejayaan sesebuah organisasi tidak hanya bergantung kepada kecekapan teknikal atau pencapaian petunjuk prestasi utama (KPI) tetapi kekuatan hubungan insaniah yang terbina melalui kepercayaan, empati dan kerjasama sejati.
Aktiviti ini membuktikan aktiviti luar yang dirancang dengan matlamat jelas mampu membina pasukan kerja yang bukan sahaja cemerlang dalam prestasi tetapi juga sejahtera dari segi hubungan kemanusiaan. – UTUSAN
Dr. Yohan Kurniawan
Pensyarah Kanan, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya










