ALR lancar pas perjalanan tanpa had, jimat hampir 50 peratus sempena Merdeka

ALR lancar pas perjalanan tanpa had, jimat hampir 50 peratus sempena Merdeka

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) pada Majlis Peluncuran Pas Perjalanan Tanpa Had Smart sempena Kemerdekaan ke-68 di Syarikat Pengurusan Air Banjir Dan Terowong, Kompleks Operasi Smart. - UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Amanat Lebuhraya Rakyat Berhad (ALR) melancarkan Pas Perjalanan Tol Tanpa Had SMART sempena Sambutan Bulan Kebangsaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pas itu boleh dimanfaatkan oleh pengguna harian terowong SMART dengan penjimatan hampir 50 peratus.

Katanya, ia menunjukkan mesej jelas bahawa kemudahan awam perlu ditawarkan dengan semangat inklusif dan berjiwa rakyat.

“Bayaran hanya RM68 bersempena 68 tahun kita merdeka. Tapi oleh kerana tanpa had, ia boleh diguna bila-bila jadi akan beri penjimatan yang lebih. Hampir separuh daripada RM132.

“Inisiatif ini membuktikan bagaimana pemain industri, khususnya di sektor infrastruktur, mampu mengambil pendekatan proaktif dalam membantu rakyat mengurus kos kehidupan harian, terutama di kawasan bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media sempena Majlis Peluncuran Pas Perjalanan Tanpa Had SMART di Kompleks Operasi Lebuhraya SMART, hari ini.

Pas yang juga dinamakan Merdeka Unlimited Travel Pass (MUTP) itu dijual pada kadar RM68 bersempena Sambutan Kemerdekaan ke-68.

Ia berkuatkuasa selama sebulan bermula 16 Ogos hingga 16 September depan yang juga sambutan Hari Malaysia.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ALR, Muhammad Nizam Alias berkata, MUTP merupakan satu galakkan penggunaan lebuhraya yang lebih efisien dan menjimatkan masa.

“Pas ini dianggap sebagai instrumen kad atau pas yang penting dalam dunia yang semakin mencabar ini. Setiap ringgit dan minit yang dipendekkan membawa makna yang besar kepada rakyat.

“Ia sebagai tanda terima kasih kepada rakyat Malaysia dalam menyokong usaha menjadikan kami infrastruktur lebuhraya lebih lestari dan mesra pengguna,” katanya.

Pas MUTP itu boleh dibeli mulai 11 Ogos 2025 di pelbagai lokasi termasuk 12 lorong tol Lebuhraya SMART dari arah Kuala Lumpur (Utara) dan Sungai Besi (Selatan), Kawasan Rehat & Rawat (R&R) di Lebuhraya Shah Alam (Kesas)-Kinrara dan Awan Besar.

Selain itu, pembelian juga boleh dilakukan di kaunter jualan Plaza Tol SMART, Plaza Tol KESAS, Plaza Tol Bukit Kiara, kaunter Lebuhraya LDP di Kawasan Rehat Petaling Jaya Utara (Hentian Sebelah) dan ruang pameran Dataran Singgahsana, Tun Razak Exchange (TRX). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN