Armada Bersatu, Pemuda UMNO ganding bahu pertahan Jalur Gemilang

Armada Bersatu, Pemuda UMNO ganding bahu pertahan Jalur Gemilang

MUHAMMAD HILMAN IDHAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan bersama dengan Pergerakan Pemuda UMNO bagi mempertahankan maruah Jalur Gemilang.

Ketua Armada, Muhammad Hilman Idham berkata, Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan negara, lambang perpaduan rakyat serta identiti dan martabat tanah air yang wajib dipertahankan oleh setiap warganegara.

Beliau berkata, insiden pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik bukan kali pertama berlaku dan terus berulang, walaupun mendapat perhatian umum sebelum ini.

“Saya musykil bagaimana insiden ini boleh berlaku berulang kali dengan alasan cuai, tidak sengaja dan salah teknikal yang pelbagai.

“Lebih musykil, orang yang membela dan mempertahankan Jalur Gemilang digelar anjing liar, pembuli dan gengster yang menggugat keharmonian.

“Puak ini cuba mengalihkan isu daripada perkara pokok. Mereka menyerang peribadi, berselindung di sebalik perkataan ‘keamanan dan keharmonian’ serta ‘Rukun Negara’. Jangan peralat dan mencemarkan patriotisme untuk membela sikap dan tindakan yang salah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhammad Hilman berkata, seruan mempertahankan Jalur Gemilang adalah semboyan penyatuan kebangsaan.

Katanya, kesatuan dan kebersamaan rakyat harus digembleng demi mempertahankan panji-panji tanah air, maruah dan martabat negara.

“Atas semangat solidariti rakyat merentasi politik kepartian, Armada Bersatu akan turun bersama Pergerakan Pemuda UMNO di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 14 Ogos 2025.

“Kami menyeru semua pihak menghormati undang-undang dan memastikan himpunan ini berlangsung secara aman dan penuh semangat patriotisme yang tulen,” katanya.

Sabtu lalu, tular satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang individu mengibarkan Jalur Gemilang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik di Kepala Batas sehingga mengundang kecaman pelbagai pihak termasuk netizen serta pemimpin politik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×