Lantik pesara atasi kekurangan jururawat 

Lantik pesara atasi kekurangan jururawat 

Dr. Dzulkefly Ahmad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti cadangan untuk melantik semula jururawat yang telah bersara secara contract of service (kontrak perkhidmatan) bagi mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja di hospital awam. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM juga mempertimbang untuk meningkatkan pengambilan pelatih melalui outsourcing atau tajaan latihan untuk melanjutkan pengajian diploma kejururawatan di universiti awam dan swasta. 

“Kita juga akan mempertingkatkan publisiti profesion jururawat dan Latihan Separa Perubatan Jururawat melalui pelbagai platform termasuk program Madani Rakyat dan promosi pendidikan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam. 

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai langkah yang diambil kerajaan bagi mengatasi masalah kekurangan jururawat di hospital awam yang semakin kritikal.

Dzulkefly berkata, pihaknya berjaya mendapatkan pengecualian lantikan kontrak interim bagi jururawat. 

Katanya, ini bermakna, semua pengambilan baharu Jururawat Gred U5 akan dilaksanakan secara lantikan tetap.

“Berdasarkan rekod, sebanyak 5,106 jururawat terlatih Gred U5 telah berjaya dilatih dan dilantik sebagai anggota KKM secara tetap atau kontrak interim sejak lima tahun lalu. 

“Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) adalah inisiatif baharu diperkenalkan oleh kerajaan bermula 1 Disember 2024 untuk memperbaharui serta meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dengan mengambil kira gaji, insentif dan kemudahan kepada anggota perkhidmatan awam, termasuk pegawai yang berkhidmat dengan KKM,” katanya. 

Dzulkefly berkata, inisiatif lain termasuk meningkatkan pengambilan pelatih diploma kejururawatan di Institut Latihan KKM (ILKKM) daripada 1,500 kepada 3,000. 

“Pengambilan jururawat pelatih juga meningkat daripada 1,000 orang pada 2023 kepada 3,000 orang (2025) iaitu peningkatan sebanyak 200 peratus. 

“Sehingga Mac lalu, seramai 5,077 pelatih diploma kejururawatan sedang mengikuti latihan di ILKKM,” katanya. 

Beliau berkata, KKM turut menyasarkan pengambilan 1,000 jururawat daripada graduan diploma kejururawatan keluaran universiti awam dan swasta, tahun ini. 

“Kita juga membuka peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti lepasan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) untuk mengambil program diploma kejururawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×