Mayat bayi berbalut kain lampin berdarah di PPR Gua Musang

Mayat bayi berbalut kain lampin berdarah di PPR Gua Musang

NORIZAN Esa menunjukkan kesan tanah yang dikambus di lokasi mayat bayi lelaki berbalut kain lampin ditemukan di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 3,500 penduduk di  Program Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini, dikejutkan dengan penemuan  mayat seorang bayi lelaki yang dibaluti kain lampin berdarah berhampiran pondok dekat kawasan taman permainan, semalam.

Mayat bayi cukup sifat itu ditemukan pada pukul 10.30 malam oleh dua remaja lelaki yang sedang berehat di kawasan taman permainan tersebut.

Seorang peniaga, Fauziah Abdullah, 45, berkata, semasa kejadian, dia difahamkan salah seorang daripada remaja lelaki itu terpijak sesuatu yang lembik di kawasan berkenaan.

“Mengikut cerita remaja lelaki terbabit, ketika kejadian keadaan gelap. Terkejut dengan kejadian itu, remaja berkenaan sempat sempat menyentuh kaki mayat bayi berkenaan

“Mereka kemudian, terus memaklumkan penemuan bayi itu kepada penduduk di kawasan perumahan ini sebelum membuat laporan polis,” katanya ketika ditemui di PPR Gua Musang, semalam.

Seorang tukang cuci, Norizan Esa, 52, berkata, kejadian terbabit mengejutkan penduduk kerana kejadian itu pertama kali berlaku di kawasan perumahan itu.

Katanya, dia mengetahui kejadian itu kira-kira pukul 7 pagi ini apabila melihat perkongsian gambar bayi lelaki berbalut kain dengan kesan darah melalui aplikasi WhatsApp.

“Lokasi bayi itu dijumpai merupakan tempat yang saya dan rakan-rakan perlu menyapu setiap hari. Kawasan bayi lelaki yang dibuang itu berhampiran tong sampah dan terdapat kesan tanah yang dipercayai dikambus individu,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo ketika dihubungi mengesahkan penemuan jasad bayi lelaki di kawasan PPR Gua Musang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×