Dua kerosakan oleh Yahudi - Utusan Malaysia

Dua kerosakan oleh Yahudi

Masjid al-Aqsa adalah hak umat Islam dan ia akan kembali ke tangan orang Islam dengan izin Allah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pada juzuk yang ke-15, ada dua surah yang amat popular di kalangan kita iaitu surah al-Isra’ dan surah al-Kahf. Saya suka menarik perhatian berkaitan surah Isra’ yang bermakna perjalanan Rasulullah SAW di waktu malam dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa. Nama kedua-dua surah ini adalah surah Bani Israel.

Penamaan ini kerana terdapat beberapa fakta penting berkaitan Bani Israel yang pada mulanya diberi banyak nikmat dan kelebihan tetapi mereka adalah satu kaum yang cepat melakukan kemungkaran, menyeleweng kalam Allah, mencabul perjanjian. Sehingga mereka berani melakukan pembunuhan para nabi dan juga melakukan tuduhan kepada Allah SWT dengan perkataan yang tidak sepatutnya.

Dalam ayat yang keempat surah Isra’, Allah SWT berfirman: Dan Kami telah menyatakan kepada Bani Israel dalam kitab Taurat, “Sesungguhnya kamu akan melakukan dua kali kerosokan di bumi dan melakukan kezaliman yang melampau. (al-Isra’: 4)

Dalam ayat-ayat berikutnya Allah SWT jelaskan setiap kali mereka lakukan kerosakan tersebut akan ada pembalasan daripada Allah SWT.

Soalannya ialah bilakah dua kerosakan yang dilakukan oleh Bani Israel dan siapakah yang membalas kerosakan tersebut?

Ramai ahli tafsir yang menyatakan dua kerosakan tersebut telah berlaku. Sheikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan kerosakan pertama berlaku di mana yahudi mengubah kitab Taurat dan menyalahinya serta membunuh para nabi.

Kerosakan kedua adalah membunuh Nabi Zakaria, Nabi Yahya dan cubaan membunuh Nabi Isa a.s.

Allah SWT membalas kerosakan pertama mereka dengan satu bangsa yang datang menjajah mereka dengan beberapa peperangan. Mereka adalah tentera Babylon yang dipimpin oleh Bukhtunnasar. Pendapat ini dipegang oleh Ibn Abbas r.a. Qatadah pula menyatakan mereka adalah tentera dari Parsi.

Sheikh Wahbah Zuhaili memilih pendapat Ibn Abbas r.a dan menyatakan bahawa yang penting ialah mengambil ibrah dan pengajaran iaitu penguasaan kumpulan yang kuat ke atas kumpulan yang melampau. Tidak penting siapakah peribadi mereka dan kumpulan mereka.

Balasan kepada kerosakan kedua ialah diutus kepada mereka musuh-musuh yang masuk ke Masjid Aqsa. Mereka masuk secara ganas menghancurkan dan membakar kitab Taurat sehingga tidak meninggalkan kesan pembangunan serta merosakkan tanam-tanaman.

Mereka ialah Raja Babylon yang bergelar Birdus atau Khirdus sebagaimana disebut oleh al-Baidhawi.

Pandangan Sheikh Sya’rawi

Mengikut Sheikh Sya’rawi dalam ayat keempat ini Allah SWT memberi hukuman kepada Bani Israel dan memaklumkan kepada mereka berkaitan melakukan kekeliruan dalam menerima manhaj Allah yang disampaikan oleh para rasul.

Adakah Bani Israel melakukan hanya dua kerosakan? Sedangkan mereka telah melakukan banyak kali kerosakan tetapi kenapakah Allah menyatakan dua kali kerosakan?

Ramai ulama membicarakan dua kali kerosakan ini dan bilakah ia berlaku. Mereka berpendapat ia berlaku sebelum datangnya Islam. Namun begitu bagi orang yang memerhatikan dengan teliti surah Isra’ mereka mendapati ia diikatkan dengan Islam. Oleh itu yang dikehendaki dengan dua kali kerosakan ialah mereka lakukan kerosakan selepas kedatangan Islam.

Kronologi ayat ini ialah bermula dengan cerita berkaitan Israk Nabi SAW ke Masjid Aqsa dan kemudian Allah SWT menyatakan kisah Bani Israel. Ini menunjukkan Islam merentasi hingga ke tempat suci Bani Israel iaitu Baitulmaqdis. Ia menjadi kiblat pertama umat Islam dan destinasi terakhir Israk Nabi SAW.

Sebenarnya, Baitulmaqdis termasuk dalam kawasan Islam di mana Islam datang untuk menjaga semua agama samawi dan Islam adalah untuk seluruh manusia.

Bagi yang mengkaji penyelewengan oleh Bani Israel akan mendapati terlalu banyak yang mereka lakukan sama ada buat-buat lupa manhaj Allah, menyembunyikan manhaj Allah atau mengubah manhaj yang Allah turunkan dengan tangan-tangan mereka. Kemudian menyatakan ia adalah daripada Allah.

Apakah terdapat kerosakan yang lebih besar daripada mengubah manhaj yang Allah turunkan?

Menurut Sheikh Sya’rawi, kerosakan pertama berlaku selepas Rasulullah SAW berhijrah ke Madinah dan melakukan perjanjian dengan tiga kumpulan Yahudi iaitu Bani Quraizah, Bani al-Nadhir dan Bani Qainuqa’.

Mereka mencabuli perjanjian tersebut dan melanggar dengan melakukan perkara yang dilarang. Lantas Nabi SAW menghukum mereka. Sebahagian mereka ada yang dibunuh dan sebahagian lagi dihalau ke Syam dan Khaibar.

Maksud “Hamba-hamba Kami” ialah Rasulullah SAW dan para sahabatnya iaitu ketika Rasul dan para sahabatnya telah masuk ke penempatan mereka, membunuh, menawan dan mengeluarkan mereka daripada bumi Madinah.

Makna “Yang gagah perkasa dan ganas serangannya” ialah keadaan orang beriman ketika itu di Madinah. Mereka menjadi kerajaan yang kukuh dan kuat mampu menghadapi orang yang menceroboh perjanjian

Tidak berlaku peperangan antara umat Islam dengan Bani Israel beberapa kurun sejak zaman Nabi SAW sehinggalah perjanjian Balfour pada 1917 yang memberi hak kepada Yahudi mendirikan kerajaan Israel di bumi Palestin.

Maksud “Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi) kekuasaan” ialah kekuasaan Yahudi ke atas umat Islam diberikan pada tahun 1967.

Umat Islam tidak selama-lamanya kalah dengan Yahudi. Firman Allah SWT: Oleh itu, apabila menjelang waktu hukuman pembalasan kezaliman yang kedua… (Isra’: 7) maknanya akan datang kerosakan kedua kepada mereka.

Ayat ini memberi berita gembira kepada umat Islam supaya kita kembali sebagaimana umat Islam terdahulu. Hendaklah kita sedar, bangkit dan kembali kepada manhaj Allah maka ketika itu umat Islam akan menang ke atas yahudi.

Umat Islam akan memasuki Masjid al-Aqsa dan menyelamatkanya daripada tangan-tangan Yahudi. Jika diperhatikan kepada firman Allah “Mereka memasuki Masjid Baitulmaqdis sebagaimana mereka memasukinya kali pertama”.

Kali pertama umat Islam memasuki Masjid Aqsa ialah pada zaman khalifah Umar  al-Khattab r.a. Pada ketika itu Masjid Aqsa berada dalam tangan orang Nasara berbangsa Roman bukan Yahudi. Tapi kali ini umat Islam yang memasuki Masjid Aqsa yang berada di bawah penguasaan Yahudi.

Umat Islam akan menghancurkan mereka dan membersihkan Masjid Aqsa daripada kotoran Yahudi. Al-Quran tidak akan berkata “sebagaimana mereka memasukinya kali pertama” kecuali ia berlaku dua kali memasuki Masjid al-Aqsa dengan sekali mereka iaitu Yahudi dikeluarkan.

Apa yang berlaku sekarang iaitu pengumpulan Yahudi di bumi Palestin yang bermula dengan Deklarasi Balfour pada 1917 dan sokongan kuat kuasa besar dunia terhadap Yahudi dan mereka memusuhi Islam, sebenarnya adalah memudahkan untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka.

Kemenangan terakhir adalah milik Islam dan umatnya. Jarak untuk mencapai janji kemenangan ini bergantung kepada umat Islam sendiri sejauh manakah mereka berpegang kepada manhaj Allah.

  • PM Dr Khairul Anuar Mohamad, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×