Santuari gajah tidak ditambah

Santuari gajah tidak ditambah

ORANG ramai berpeluang memberi gajah makan sempena Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah di Temerloh, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEMERLOH: Tiada cadangan mewujudkan santuari gajah baharu di negara ini kerana ia sudah mencukupi untuk menampung usaha pemuliharaan haiwan berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, habitat sedia ada seperti Taman Negara dan beberapa kawasan hutan terpilih masih mampu menampung keperluan translokasi gajah-gajah yang tersasar ke kawasan penempatan atau ladang.

Beliau berkata, antara lokasi pelepasan gajah hasil operasi tangkapan adalah di kawasan Taman Negara yang meliputi Pahang, Terengganu dan Kelantan selain habitat sementara seperti di Tasik Kenyir.

“Setakat ini, keperluan menambah santuari tidak timbul kerana kawasan yang ada sudah memadai. Fokus kita adalah menguruskan populasi gajah yang terkesan akibat habitat yang semakin menge­cil,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri Sambutan Hari Gajah Sedunia di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, di sini.

Abdul Kadir berkata, pengecilan habitat itu menyebabkan gajah keluar dari kawasan hutan untuk mencari makanan, air dan pasa­ngan sekali gus meningkatkan risiko pertembungan dengan manusia.

“Arus pembangunan menjadi antara punca utama habitat asal mereka semakin mengecil. Akibatnya, gajah masuk ke kampung, ladang malah kawasan perumahan dan premis,” katanya.

Menurut beliau, setiap kali menerima aduan, Perhilitan menghantar pasukan untuk menangkap gajah tersebut dan memindahkannya ke habi­tat yang lebih sesuai.

“Antara pusat yang digunakan ialah PKGK Kuala Gandah di Lanchang, Pusat Pemuliharaan Gajah Kenyir di Tasik Kenyir, Hutan Simpan Endau-Kota Tinggi dan Hutan Simpan Panti di Johor dan di Hutan Simpan Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor di Perak menjadi kawasan pelepasan utama,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×