Sekali lagi Jalur Gemilang dipasang terbalik. Seperti sebelum ini, ia terus-terusan dilakukan pihak sama dan juga di entiti yang serupa.
Pemasangan secara manual menggunakan tangan dan hanya berpandukan penglihatan mata ini boleh dikatakan tidak pernah dilakukan oleh mana-mana pihak lain di entiti mereka sama ada di sekolah, kilang mahupun bangunan. Sebaliknya, kaedah ini lazimnya hanya dilakukan oleh pihak ini sendiri di mana-mana entiti di bawah seliaan mereka.
Perkara penting yang perlu diberi perhatian ialah kesalahan terhadap Jalur Gemilang kini turut berlaku dalam bentuk penjanaan digital. Hal ini berbeza sama sekali daripada kesilapan yang berlaku secara manual. Ini kerana hasil yang terhasil melalui penjanaan digital bukanlah sepenuhnya buatan tangan manusia, sebaliknya ia bersifat automatik digerakkan oleh teknologi dan mesin tertentu.
Kesalahan secara automatik ini dapat dilihat pada Jalur Gemilang yang pernah terjana dalam pelbagai bentuk. Antaranya termasuklah kehilangan anak bulan dan kewujudan lebih daripada satu anak bulan. Selain ini adalah bucu bintang dan jalur yang tidak mencukupi. Ini berlaku pada imej bendera yang biasa ataupun bentuk lain yang digayakan.
Untuk kes terbaharu di sebuah sekolah, pihak terbabit yang memohon maaf cuba menyalahkan pekerja yang didakwa Orang Kurang Upaya (OKU). Pekerja tersebut difahamkan menghadapi cabaran dari segi keupayaan intelek, menyebabkan dia mempunyai had dalam fungsi kognitif, termasuk dalam aspek pengesanan dan penguasaan kemahiran sosial.
Timbul persoalan bagaimana tugas penting tersebut diserahkan kepada pekerja berkenaan, sedangkan ia kerja penting dan kritikal kerana beberapa isu Jalur Gemilang mencetuskan kontroversi hebat apabila tidak dilaksanakan dengan betul.
Pihak berkenaan bukan sahaja gagal mengambil iktibar daripada kesilapan lalu sebaliknya mengambil sikap acuh tak acuh. Mereka seolah-olah tidak peduli, tidak mahu ambil tahu, apatah lagi menunjukkan keprihatinan terhadap hal-hal berkepentingan nasional termasuklah soal bendera negara.
Dari satu sedut, benar ia kecuaian pekerja itu, namun pada segi lain, ia kesalahan majikan yang menyerahkan tugas nasional sepenting itu kepada OKU.Sehubungan ini, majikan terbabit boleh dianggap sebagai langsung tidak menghormati, apatah sama sekali untuk menyanjungi simbol negara. Ini kerana tugasan nasionalistik begini diserahkan kepada seorang yang memang diketahui tidak mampu membuat pertimbangan wajar.
Dalam pada ini, etnik pihak majikan itu bukan sahaja bangkit mempertahan kecuaian ini atas faktor simpati dan empati kepada OKU tetapi juga meminta pihak berkuasa menyediakan prosedur operasi standard (SOP) panduan dan peraturan langkah demi langkah untuk membantu dalam melaksanakan tugas secara konsisten dan berkesan.
Cadangan mewujudkan SOP ini dilihat agak mengecewakan, memandangkan selepas lebih enam dekad negara mencapai kemerdekaan, etnik ini masih menuntut peraturan asas sebagai panduan.
Secara tidak langsung, keadaan ini menggambarkan mentaliti mereka masih belum benar-benar beralih daripada pemikiran seorang pendatang kepada jiwa warganegara.
Keadaan ini tidak banyak berbeza jika mahu dibandingkan dengan zaman nenek moyang mereka yang dahulunya merupakan pendatang. Dalam banyak hal juga meletakkan mereka dalam kedudukan berbeza jika dibandingkan dengan pekerja asing yang hanya menetap di negara ini buat sementara waktu demi mencari rezeki.
Ini kerana secara perbandingannya pekerja asing bukan sahaja mengetahui simbol nasional negara yang mereka tumpangi ini tetapi juga menghormatinya atas filsafat peribahasa Melayu ‘di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.’
Sebenarnya kita mempunyai banyak masalah dalam pembentukan negara bangsa, yakni negara berdaulat yang rakyatnya perlu juga bersatu dari segi berkongsi aspirasi nasional sepunya. Antaranya termasuklah penghormatan kepada simbol negara.
Untuk ini, etnik ini bukan sahaja diperlukan malah diwajibkan berintergrasi ke dalam pelbagai struktur sosial Melayu dalam erti kata sebenar. Mereka ini wajib antaranya berbahasa Melayu dengan baik selain menerima budaya itu dengan seadanya.
Keadaan sebaliknya tidak boleh sesekali berlaku, seperti menolak kepentingan bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara dan warisan budaya Melayu yang merupakan tunjang Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN). Penolakan ini tidak boleh berlaku langsung, walaupun dalam cara halus, apatah lagi secara terbuka.
Dalam pada ini, etnik ini hendaklah berhenti daripada terus-terusan melakukan perkara tidak nasional dan memohon maaf setiap kali melakukannya, termasuklah yang memang pun disengajakan sehingga boleh digayakan untuk divideokan. Ini kerana mereka sudah dicap sebagai pesalah berulang, yang melakukan kesalahan sama untuk sekian kalinya, walaupun setelah adanya pengakuan kendiri dan amaran keras lampau yang diberikan.
HUKUMAN
Memandangkan mereka merupakan pesalah berulang, sepatutnya tindakan tegas dikenakan termasuk hukuman lebih berat. Tanpa pelaksanaan denda yang tinggi, tempoh pemenjaraan lebih lama, serta kawalan yang ketat, ada kemungkinan besar mereka akan terus mengulangi kesalahan sama, malah berpotensi melakukan kesalahan yang lebih serius pada masa akan datang.
Sehubungan ini, etnik ini dipinta untuk muhasabah diri dalam hal ini dan juga lain-lain yang seumpamanya. Ia tidak boleh lagi terus-terusan bersifat menegakkan benang basah, yakni mempertahan perkara yang salah, kekadang secara mati-matian lagi.
Dalam hal ini, etnik ini hendaklah insaf dan berjanji untuk betul-betul tidak melakukannya lagi. Ia tidak boleh lagi tidak habis-habis berupa kisah pengembala kambing dan serigala, iaitu selalu mempunyai banyak muslihat dengan pelbagai dalih yang kesemuanya tidak masuk akal.
Pendekatan defensif yang ditunjukkan etnik ini termasuk menuntut SOP dan mendesak agar tindakan tegas turut dikenakan terhadap individu dari etnik lain yang melakukan kesalahan serupa memperlihatkan ketidakmatangan dalam memahami konteks sebenar. Ini kerana bentuk kesalahan yang dimaksudkan berbeza. Dalam kes etnik lain, ia berlaku akibat penggunaan teknologi, manakala dalam kes mereka, ia secara manual. Maka timbul persoalan apakah sebenarnya yang diinginkan oleh etnik ini, yang tindak-tanduknya sering menimbulkan persoalan tentang sejauh mana kemegahan, kecintaan dan kesetiaan mereka terhadap negara ini?
Dalam hal ini, mereka harus tepuk dada tanya selera. Ini penting sebagai penilaian, sama ada baik untuk mereka dalam konteks kerakyatan di bumi bertuah ini ataupun sebaliknya.-UTUSAN
PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felo Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).










