Realiti kos sara hidup meningkat, belia perlu peka, bertindak bijak

Realiti kos sara hidup meningkat, belia perlu peka, bertindak bijak

KENAIKAN kos sara hidup bukan lagi isu asing dalam kehidupan rakyat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENAIKAN kos sara hidup bukan lagi isu asing dalam kehidupan. Realiti hari ini menyaksikan harga makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan asas meningkat saban tahun, sementara kadar gaji kekal hampir tidak berubah.

Apa yang dahulu mampu dibeli dengan RM100, kini mungkin hanya cukup untuk dua hari. Fenomena ini dirasai semua lapisan masyarakat, termasuklah golongan muda yang baru menapak dalam dunia dewasa dan kerjaya.

Menurut Jabatan Perangkaan, kadar inflasi negara meningkat kepada 3.2 peratus pada suku pertama tahun ini, dengan harga makanan dan minuman bukan alkohol mencatatkan kenaikan tertinggi iaitu 5.1 peratus. Statistik mencerminkan realiti harian rakyat yang berdepan cabaran untuk memastikan makanan di atas meja dan keperluan asas keluarga terus terpenuhi.

Bagi golongan muda dan belia, situasi ini memerlukan lebih daripada sekadar mengeluh. Ia menuntut kesedaran, ilmu dan tindakan proaktif. Ramai anak muda kini memikul tanggungjawab besar menyara diri di perantauan, membantu keluarga atau memulakan kehidupan berkeluarga.
Tanpa ilmu pengurusan kewangan yang kukuh, mereka mudah terjerat dalam beban hutang, ketidakstabilan emosi dan tekanan hidup yang berpanjangan.

Kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), subsidi minyak masak paket dan kawalan harga barang musim perayaan. Namun, penyelesaian jangka panjang hanya akan berhasil jika rantaian bekalan diperkukuh, struktur upah diperbaiki dan kecekapan pelaksanaan dasar ditingkatkan.

Di peringkat akar umbi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti MyKasih dan Yayasan Food Bank Malaysia turut memainkan peranan penting. Di dunia maya, anak muda semakin aktif berkongsi idea berjimat cermat, memasak dengan bajet rendah dan memulakan perniagaan kecil-kecilan dari rumah.

Hakikatnya, dalam cabaran ini tersembunyi ruang untuk membina daya tahan dan kematangan. Golongan muda perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan, merancang masa hadapan dengan bijak dan menggunakan peluang digital untuk menjana pendapatan tambahan.

Mereka juga perlu lebih kritikal terhadap dasar ekonomi dan berani menyuarakan pandangan dalam kerangka demokrasi yang matang.-UTUSAN

MUHAMMAD AMSYAR HAKIM MOHAMMAD HISHAM & DR. AFIQAH KAMARUL
Komunikasi Media Baharu
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×