PARIS: Sebanyak tiga per empat daripada negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sudah atau akan mengiktiraf kenegaraan Palestin, dengan Australia pada Isnin menjadi negara terkini yang berjanji untuk menyatakan sokongan rasmi semasa Perhimpunan Agung PBB pada September ini.
Perang berterusan antara Israel dan Hamas yang tercetus sejak 7 Oktober 2023, telah mencetuskan semula desakan global untuk memberikan rakyat Palestin sebuah negara mereka sendiri.
Langkah ini sebagai satu peralihan daripada pandangan lama mengenai kenegaraan Palestin hanya boleh dicapai melalui rundingan damai dengan Israel.
Menurut kiraan Agensi AFP, sekurang-kurangnya 145 daripada 193 negara anggota PBB kini telah atau akan mengiktiraf negara Palestin, termasuk kuasa-kuasa besar seperti Perancis, Kanada dan Britain.
Pada tahun 2011, ketika rundingan damai antara Palestin dan Israel berada dalam kebuntuan, pihak Palestin melancarkan kempen untuk mendapatkan keanggotaan penuh dalam PBB.
Usaha tersebut gagal, namun satu langkah bersejarah berlaku pada 31 Oktober tahun yang sama, apabila agensi kebudayaan PBB, UNESCO, menerima Palestin sebagai anggota penuh sekali gus mengecewakan Israel dan Amerika Syarikat.
Pada November 2012, buat pertama kalinya bendera Palestin dinaikkan di ibu pejabat PBB di New York selepas Perhimpunan Agung PBB sebulat suara bersetuju menaik taraf status Palestin kepada “negara pemerhati bukan ahli”.
Tiga tahun kemudian, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) turut menerima Palestin sebagai negara pihak (state party).
Serangan besar-besaran Israel ke atas Gaza mengubah landskap diplomatik dunia, menyemarakkan kembali sokongan terhadap kenegaraan Palestin.
Pada tahun 2024, empat negara Caribbean iaitu Jamaica, Trinidad dan Tobago, Barbados dan Bahamas serta Armenia mengambil langkah penting mengiktiraf negara Palestin.
Empat negara Eropah turut berbuat demikian, iaitu Norway, Sepanyol, Ireland, dan Slovenia dengan tiga daripadanya adalah anggota Kesatuan Eropah (EU).
Dalam kalangan negara EU, langkah ini merupakan yang pertama dalam sedekad, selepas Sweden mengiktiraf Palestin pada 2014, yang ketika itu menyebabkan hubungan tegang dengan Israel selama bertahun-tahun.
Negara anggota EU lain seperti Poland, Bulgaria dan Romania sudah pun mengiktiraf Palestin sejak 1988, jauh sebelum menyertai EU.
Namun begitu, beberapa bekas negara blok Timur seperti Hungary dan Republik Czech tidak atau belum lagi mengiktiraf negara Palestin.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, pada Isnin mengumumkan Australia akan mengiktiraf hak rakyat Palestin untuk memiliki negara mereka sendiri dalam Perhimpunan Agung PBB akan datang.
Perancis pula menyatakan pada bulan lalu bahawa ia berhasrat untuk menyatakan pengiktirafan pada September. Britain menyatakan ia akan berbuat demikian kecuali Israel mengambil langkah substantif, termasuk menyetujui gencatan senjata di Gaza.
Kanada juga bakal menyertai gelombang tersebut, dengan Perdana Menteri Mark Carney mengumumkan negaranya akan mengiktiraf Palestin pada September.
Negara lain seperti Malta, Finland dan Portugal turut memberi isyarat mereka sedang mempertimbangkan pengiktirafan rasmi.










