PETALING JAYA: Seorang remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri kemeja-T terpakai berjumlah RM260, Sabtu lalu.
Tertuduh, Siew Kah Hoe, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri tiga helai kemeja-T jenama X-Large di sebuah kedai menjual pakaian terpakai di PJ Old Town, Seksyen 1, di sini pada pukul 2.29 petang, 9 Ogos lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Bagi kesalahan kali kedua atau berikutnya, pesalah boleh dikenakan penjara dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurain Syafiqeen Mohd. Rozi mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana tertuduh merupakan pesalah muda.
eguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhamad Nur Aiman Toharudin yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kerana anak guamnya tidak bekerja dan masih bujang.
“Tertuduh merupakan pesalah muda. Saya mohon untuk mahkamah memberi jaminan yang rendah dan tidak bersifat hukuman,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Oktober ini untuk laporan akhlak sebelum hukuman dijatuhkan serta membenarkan jaminan sebanyak RM1,800 dengan seorang penjamin. – UTUSAN










