KUALA TERENGGANU: Promosi ayam pencen tiga ekor yang dijual pada harga RM10 di Profesor Ayam Segar, Wakaf Mempelam di sini, mendapat sambutan luar biasa apabila 3,000 ekor habis dijual dalam tempoh tiga jam sahaja, kelmarin.
Pemiliknya, Mohd. Sulaimi Hassan, 57, berkata, kedainya dipenuhi pelanggan yang seawal pukul 5 pagi sanggup beratur panjang bagi mendapatkan ayam pencen pada harga itu.
Katanya, promosi berkenaan diadakan khas minggu ini sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan setia yang menyokong sejak pembukaan cawangan pertamanya, 12 tahun lalu.
“Biasanya harga seekor ayam pencen di pasaran mencecah sehingga RM10 seekor bergantung kepada saiz dan kualiti. Jadi, dengan tawaran yang kami lakukan ini, boleh dikatakan harga yang tidak masuk akal.
“Kalau ikutkan untuk dua hari (Jumaat dan Sabtu), kami hanya merancang mengeluarkan 2,000 ekor ayam pencen namun disebabkan orang ramai beratur panjang, kami menambah stok sehingga hampir 5,000 ekor.
“Memang setiap minggu kami buat promosi harga istimewa untuk pelanggan, apatah lagi dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Hari biasa pun ada promosi, cuma harganya pula berbeza,” katanya di sini.
Menurut Mohd. Sulaimi yang mengendalikan lapan cawangan di sekitar Kuala Terengganu, kedainya mampu menjual pada harga lebih rendah kerana mempunyai kilang pemprosesan sendiri di Kampung Tiruk, Serada.
Katanya, walaupun promosi hanya berlangsung pada waktu tertentu, harga ayam segar dan ayam pencen yang dijual di premisnya tetap lebih rendah berbanding pasaran biasa.
Sementara itu, seorang pelanggan, Wahab Endut, 65, berkata, dia sanggup beratur seawal pagi kerana tidak mahu terlepas peluang mendapatkan ayam pencen dengan harga sangat murah.
“Biasanya seekor ayam pencen dalam RM8 hingga RM9, jadi apabila ada promosi tiga ekor RM10 ini memang saya datang awal untuk pastikan dapat beli,” ujarnya.
Seorang lagi pelanggan, Maziah Mat, 43, berkata, walaupun tinggal di Gong Badak, Kuala Nerus, dia sanggup datang kerana keluarganya menggemari ayam pencen.
“Sekarang ini kalau boleh kita hendak berjimat dalam berbelanja. Di sini memang pilihan saya sebab harganya lebih murah daripada tempat lain, apatah lagi kalau ada promosi macam ini memang saya tidak akan lepaskan peluang,” jelasnya.
Promosi tersebut turut menjadi tular di media sosial sejak beberapa hari lalu, menyebabkan pelanggan dari kawasan sekitar sanggup datang ke Wakaf Mempelam semata-mata untuk membeli ayam pencen pada harga jauh lebih murah.
Hasilnya, sebanyak 5,000 ekor ayam pencen yang disediakan habis ‘licin’ dibeli pelanggan sepanjang dua hari promosi itu berlangsung.-UTUSAN.










