Budak maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

Budak maut disyaki didera bapa kandung, ibu tiri

DUA suspek direman di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu bermula semalam kerana disyaki melakukan penderaan fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun 11 bulan maut dipercayai didera bapa kandung dan ibu tirinya di Kampung Banggol Manir, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) pada pukul 2.05 petang kelmarin selepas tiga hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah.

Beliau berkata, kejadian terbongkar pada 6 Ogos lalu apabila seorang pegawai perubatan menerima pesakit tidak sedarkan diri dengan kesan lebam pada muka, leher dan badan ketika bertugas di Zon Merah, HSNZ.

“Hasil siasatan awal mendapati bapa kandung mangsa berusia 27 tahun dan ibu tirinya berusia 30 tahun mengaku pernah memukul mangsa menggunakan penyakut baju berwarna hitam di betis. Pemeriksaan turut menemukan kesan lebam baharu dan lama pada badan mangsa,” katanya di sini.

Menurut Azli, siasatan mendapati, sehari sebelum kejadian, mangsa dilaporkan jatuh selepas memanjat pagar penyekat pintu bilik ketika berada di rumah bersama kedua-dua suspek.

“Namun keesokan harinya, mangsa dilihat tidur sebelum didapati tidak sedarkan diri kira-kira pukul 12 tengah hari. Dia kemudian dibawa ke Klinik Ke­sihatan Manir sebelum dirujuk ke HSNZ untuk rawatan lanjut,” ujarnya.

Ujarnya, pemeriksaan doktor mengesahkan mangsa mengalami kecederaan otak selain lebam dan luka dipercayai akibat hentakan objek tumpul.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah pendarahan dalam kepala akibat hentakan objek tumpul,” katanya.

Menurut beliau, kedua-dua suspek ditahan kira-kira pukul 10 malam kelmarin di hadapan Pusat Pengurusan Jenazah, Rhu Muda, Marang sejurus selesai urusan pengebumian mangsa.

Kedua-duanya direman tujuh hari bermula semalam selepas perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Noor Mazrinie Mahmood di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.
Polis turut merampas sebatang penyakut baju yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×