Penduduk Israel berkeras bantah pelan duduki Gaza

Penduduk Israel berkeras bantah pelan duduki Gaza

RIBUAN penunjuk perasaan berhimpun bagi membantah keputusan Benjamin Netanyahu untuk menduduki Gaza sepenuhnya di Tel Aviv, kelmarin. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Puluhan ribu penunjuk perasaan membanjiri Tel Aviv dan beberapa bandar di seluruh Israel pada malam Sabtu, menuntut perjanjian pertukaran tebusan serta gencatan senjata sebelum Israel melaksanakan misi menawan Gaza.

Keluarga tebusan turut menggesa mogok besar-besaran sebagai bantahan terhadap rancangan tersebut yang mereka bimbang bakal mengorbankan nyawa insan tersayang.

Protes besar-besaran itu berlangsung beberapa hari selepas Kabinet memutuskan untuk menawan bandar Palestin yang padat penduduk itu, meskipun tentera memberi amaran langkah tersebut akan membahayakan tebusan serta memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza.

“Bendera merah terang sedang berkibar atas keputusan kerajaan untuk mengorbankan insan-insan kesayangan kami.

“Capailah perjanjian tebusan yang menyeluruh, hentikan perang, pulangkan keluarga kami..masa mereka sudah tamat,” rayu Forum Keluarga Tebusan dan Orang Hilang dalam kenyataan sebelum perhimpunan bermula.

Forum yang mewakili majoriti keluarga tebusan itu turut menganjurkan himpunan di Tel Aviv, Baitulmuqaddis, Persimpangan Shaar HaNegev di selatan dan Kiryat Gat, selain perhimpunan berskala kecil di puluhan lokasi lain.

Di hadapan sekurang-kurangnya 10,000 orang di Dataran Tebusan, Tel Aviv, bekas tebusan Sharon Aloni-Cunio menyampaikan ucapan mengenai suaminya David Cunio yang masih ditahan.

Katanya, selepas melihat rakaman minggu lalu yang menunjukkan tebusan Evyatar David dan Rom Braslavski dalam keadaan kurus kering, dia terfikir tentang suaminya yang mungkin berada dalam keadaan sama.

“Sekarang, ketika pencetus perang tanpa henti menolak kita semua ke arah bencana besar, mereka melakukannya bukan demi tebusan malah secara terbuka sanggup mengorbankan tebusan,” katanya sambil mengkritik keputusan kerajaan untuk memperluas pertempuran dan menawan Gaza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×