KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan bersama hampir 2,000 peserta menyertai larian sejauh tujuh kilometer (km) sambil menikmati keindahan alam semula jadi dan sawah menghijau di sekitar kawasan geotapak Bukit Lagi, di sini hari ini.
Terdahulu, baginda turut berkenan melepaskan para peserta Larian Eco Fun Run anjuran Yayasan Amal Tengku Hajah Budriah Perlis bersempena sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang bermula di Dewan 2020 di sini.
Berangkat sama menyertai larian yang berlangsung meriah itu, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil; anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail dan kerabat diraja negeri ini.
Turut menyertai larian yang bermula kira-kira pukul 8.15 dan berakhir sekitar pukul 11 pagi itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
Para peserta turut tidak melepaskan peluang beramah mesra dan berswafoto dengan Tuanku Syed Faizuddin di beberapa chek point ditetapkan sepanjang laluan larian berkenaan.
Di akhir program, baginda turut berkenaan menyampaikan pelbagai hadiah menarik cabutan bertuah termasuk motosikal elektrik kepada peserta di Dewan 2020 itu.
Program berkonsepkan larian santai mengelilingi kawasan geotapak Bukit Lagi itu berjaya menarik penyertaan ribuan peserta yang objektifnya bagi menyemarakkan aktiviti sihat sambil beriadah bersama ahli keluarga serta rakan-rakan.
Selain itu, ia juga bertujuan bagi menyemai sifat prihatin masyarakat terhadap pemuliharaan dan kebersihan alam sekitar.
Aktiviti pada Karnival Sihat Milik Semua 2025 bersempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Raja Perlis itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik termasuk acara kayuhan basikal yang berlangsung semalam.
Karnival Sihat Milik Semua 2025 juga adalah selari dengan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bertujuan memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan rakyat serta mendukung aspirasi program outreach Madani Afiat yang memberi penekanan kepada kesejahteraan menyeluruh melalui pendekatan kesihatan holistik, inklusif serta berteraskan komuniti. – UTUSAN










