Bangunkan pelan literasi digital belia

Bangunkan pelan literasi digital belia

KITA bukan hanya memerlukan belia yang celik teknologi, tetapi juga bijak menilai, bertindak dan beretika dalam dunia digital.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LITERASI digital bukan lagi kemahiran tambahan, tetapi keperluan asas. Tanpa kefahaman yang kukuh tentang etika digital, keselamatan siber, dan implikasi kecerdasan buatan (AI), belia akan menjadi pengguna pasif, mudah dipengaruhi oleh maklumat palsu, eksploitasi data peribadi dan manipulasi algoritma.

Kita bukan hanya memerlukan belia yang celik teknologi, tetapi juga bijak menilai, bertindak dan beretika dalam dunia digital. Golongan belia perlu berani tampil sebagai barisan hadapan dan menjadi pemimpin dalam memerangi maklumat palsu melalui program literasi media dan pembudayaan inovasi teknologi.

Majlis Belia Malaysia (MBM) dalam Konvensyen Belia Digital 2025 menyifatkan transformasi ini sebagai satu “lonjakan paradigma” bukan hanya dari aspek teknikal, tetapi juga nilai kemanusiaan. Seiring kemajuan teknologi, belia harus memiliki “kompas moral digital” yang jelas. Ini termasuklah aspek keselamatan siber, privasi data, tanggungjawab sosial dalam media digital, serta keupayaan untuk mengenal pasti maklumat palsu.

Penganjuran program literasi digital oleh badan-badan seperti Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBTM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Junior Chamber International (JCI Malaysia) dan Majlis Belia Negeri (MBN), menagih komitmen dari pelbagai pihak sehingga akar umbi.

Sebab itu, dicadangkan agar ‘Pelan Tindakan Literasi Digital, Belia Madani’ dibangunkan secara inklusif dengan penglibatan langsung belia pelbagai latar belakang, termasuk dari kawasan luar bandar dan komuniti minoriti. Pelan ini harus merangkumi modul literasi digital berasaskan nilai, pembangunan bakat AI secara etika, serta garis panduan keselamatan siber yang mudah diakses oleh golongan belia.

Bukan itu sahaja, Rukun Negara yang selama ini menjadi panduan kepada keharmonian negara, kini wajar diterjemahkan dalam ruang digital. Prinsip seperti Kesopanan dan Kesusilaan atau Keluhuran Perlembagaan bukan hanya untuk kehidupan nyata, tetapi perlu diangkat ke alam maya. Misalnya, tidak menyebar fitnah, tidak membuli siber, serta menghormati perbezaan pandangan dalam media sosial merupakan cerminan nilai Rukun Negara versi digital.

Inisiatif seperti Kempen Internet Selamat (KIS) yang digerakkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) adalah contoh usaha mempraktikkan prinsip Rukun Negara dalam konteks digital. KIS menekankan aspek keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab dalam penggunaan internet, sejajar dengan objektif Rukun Negara.

Program ini telah berjaya meningkatkan kesedaran tentang penggunaan teknologi secara beretika dan selamat, sekali gus mengukuhkan perpaduan dan keharmonian dalam masyarakat digital Malaysia.

Belia Malaysia mesti bersedia memegang peranan sebagai peneraju perubahan. Literasi digital adalah benteng pertahanan pertama dalam dunia yang sarat dengan maklumat, pengaruh dan cabaran siber.

Kita tidak boleh membiarkan generasi ini terapung tanpa arah dalam lautan digital yang luas.

Sebaliknya, kita harus membimbing mereka menjadi pelayar yang cekap, beretika, dan berpandukan nilai kebangsaan.

Era AI dan masyarakat 5.0 bukan sekadar tentang robot, algoritma dan inovasi canggih. Ia tentang membina masyarakat yang bijak, berjiwa besar dan tidak lupa akar nilai kemanusiaan. Tuntas di tengah-tengahnya, berdirilah belia sebagai penghubung antara teknologi dan tanggungjawab, antara data dan nilai, antara masa kini dan masa depan. – UTUSAN

SHARRAN LOGANADZAN
Felo Penyelidik di Yayasan ASEAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×