PETALING JAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir yang dipercayai mengandungi maklumat palsu serta unsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja).
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan, tindakan tidak bertanggungjawab itu dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam selain menjejaskan kelancaran siasatan pihak berkuasa.
“Individu terbabit telah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras pada 9 Ogos lalu bagi membantu siasatan.
“Seunit telefon bimbit dan sekeping kad SIM turut disita bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
MCMC mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat atau menyebarkan sebarang kandungan bersifat spekulasi yang boleh mengundang kekeliruan serta menyinggung perasaan keluarga mangsa.
“Penyebaran maklumat yang belum disahkan bukan sahaja bercanggah dengan nilai etika, malah boleh mengganggu proses keadilan. Berilah ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara telus,” ujarnya. – UTUSAN










